Lubuk Judi Kedai judi menggunakan pelbagai cara untuk mengaburi pihak berkuasa.
 
Cerita wartawan Sinar Harian menyamar sebagai pelanggan di premis judi siber

SEKITAR  jam 9 pagi saya sudah mula berlegar-legar di Taman Semabok Perdana. Kata orang, kawasan ini menjadi lubuk kegiatan judi online di bandar Melaka.

Sementara menunggu premis-premis di sini dibuka, saya cuba berbual-bual dengan penduduk tempatan yang berada di sekitar kawasan itu.

Bualan kosong dengan penduduk tidak menghampakan. Pelbagai info saya dapat. antaranya, mereka memaklumkan premis-premis judi siber di sini merupakan antara yang terbesar di Melaka. Kebanyakannya sudah beroperasi lebih tiga tahun.

Saya ditunjukkan premis-premis yang dimaksudkan. Terdapat paling kurang lima premis yang menawarkan aktiviti tersebut di sini.

Hampir sejam saya berbual-bual dengan penduduk tempatan. Bila beberapa maklumat sudah terisi 'di poket' saya mula melangkah ke premis yang dimaksudkan.

Suasana premis agak gelap. Secara tidak langsung cahaya-cahaya dari skrin-skrin komputer dan mesin-mesin judi menjadi lampu untuk ruang kedam itu. Ada kaunter tukar wang. Seorang wanita cantik lagi seksi jadi 'penghias' di kaunter itu. Dia senyum meleret sewaktu saya menghampir.

"Abang nak tukar berapa?" Soalnya. Saya tidak tentu arah. Dalam kalut untuk berfikir apa yang perlu dibuat, saya sudah menghulur wang kertas RM50 kepadanya.

"Semua?" Dia menyoal lagi. Saya sekadar mengangguk.

Sebenarnya saya pun tidak tahu apa yang dimaksudkan 'semua' dan untuk apa anggukan saya itu. Sedar-sedar setepek wang kertas seringgit sudah berada di tangan.
Ah!!! Kacau...

Patuk

Saya memilih tempat. Mata saya melilau ke kiri dan kanan. Saya memberanikan diri menghampiri lelaki yang duduk di mesin yang berhampiran dengan saya.
"Bang, saya tak pandai ni. Baru nak cuba. Boleh tunjukkan sikit tak..."

Dia membalas teguran saya dengan senyum dan terus mengikut saya di belakang.

"Ni nama dia patuk," katanya pada saya memberitahu nama bagi permainan itu.

Dia menunjukkan saya cara untuk mengendalikan permainan itu.

Rupanya, 'patuk’ antara nama permainan popular bagi kaki-kaki judi online ini.

Selain itu, nama dan jenis lain yang sering disebutkan-disebutkan mereka adalah Roulete Game dan Penguin.

Dikatakan terdapat lebih 30 permainan yang berteraskan judi disediakan oleh kebanyakan premis.

Sambil diajar bermain, saya sempat mencungkil cerita daripada lelaki itu.

"Apa menariknya main ni bang?"

"Labur RM1 untung luar biasa!" Katanya.

Saya memandang tepat ke muka lelaki itu. Dahi saya berkerut.

"Tapi dalam 30 orang, sorang saja bernasib baik. Yang lain balik gigit jarilah..." dia menjawab kerutan saya.

"Abang pernah menang?" Saya menyoal lagi. Dia menggelengkan kepala.

"Suka-suka saja. Tapi akhirnya jadi ketagih..." katanya jujur.

Kata lelaki itu, ada kaki yang sanggup tidak pulang ke rumah berhari-hari kerana terlalu ketagih dengan mesin permainan berkenaan sehingga anak isteri datang mencari.

Pengawal

Sambil mendengar cerita lelaki itu, mata saya terus meliar. Baru saya perasan ada tidak kurang 10 lelaki yang berkawal di premis itu. Dari raut muka mereka, kebanyakannya kelihatan seperti warga asing. Indonesia dan Myanmar.

Ada seorang atau dua saja yang menjaga ruang judi dalam satu masa. Selebihnya berkawal seperti meninjau kenderaan lalu lalang. Mungkin bimbangkan kehadiran pihak berkuasa.

Dalam sehari ini di kawasan sama, saya sempat masuk di lima buah premis judi siber.

Apa yang menarik kebanyakan premis dilengkapi dengan sistem keselamatan canggih sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Daripada maklumat kaki judi yang saya temui di dalam premis, kata mereka memang ada serbuan dibuat pihak berkuasa, namun kebanyakannya dapat dihidu lebih awal oleh pengusaha dan pengawal-pengawal premis tersebut..

Menerusi tinjauan, kebanyakan premis beroperasi sepanjang 24 jam. Dan waktu operasi yang tidak pernah dihentikan ini hanya diketahui oleh kaki-kaki judi sahaja.


Pelajar

Di dalam premis, pengusaha turut menyediakan hidangan pelbagai jenis makanan dan minuman supaya kaki judi terus menghabiskan duit di premis berkenaan.

Terdapat tidak kurang 50 mesin komputer setiap premis disediakan bagi kegunaan pelanggan yang 95 peratus adalah Melayu.

Jangan tidak percaya! Di ruang judi berkenaan kelihatan pelajar sekolah, remaja serta warga emas.

Setiap individu dikatakan rata-ratanya menghabiskan wang mereka tidak kurang RM100 setiap kali bermain.

Ada juga kaki judi yang menghabiskan sebulan gaji mereka di tempat judi sehingga tiada apa yang tinggal untuk menyara keluarga.

Kesan daripada berkembangnya kegiatan pusat judi online di Taman Semabok Penerdana juga menimbul rungutan penduduk serta pengguna jalan raya tentang masalah kesesakan lalulintas.

Ia timbul apabila kebanyakan kaki-kaki judi yang pergi ke premis berkenaan meletakkan kenderaan  mereka sesuka hati di tepi jalan sehingga mengganggu lalu lintas.

Tidak kurang juga, timbul masalah kecurian serta beberapa jenayah lain seperti pecah kereta, ragut serta samun di kawasan berkenaan dipercayai angkara kaki judi.

Kesemua itu menimbulkan kebimbangan penduduk. Mereka benar-benar mengharapkan pemantauan serta penguatkuasa lebih agresif daripada pihak berkuasa khususnya polis dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).