KUALA LUMPUR – Penangan kangkung dan fenomenanya masih belum selesai selepas lebih 72 jam mendapat perhatian warga media sosial dan media antarabangsa.
Terbaru laporan segmen BBC Trending dengan tajuk ‘Careful What You Say About Spinach’ yang heboh
diperkatakan sejak semalam telah disekat aksesnya kepada pengguna internet talian tetap.
Sekatan tersebut disedari beberapa warga Twitterjaya sebelum menarik perhatian beberapa pengamal media yang kemudiannya memaklumkan pihak BBC akan perkembangan terbabit.
BBC melalui akaun Twitternya kemudian meminta warga Malaysia yang tidak dapat mengakses laporan terbabit memaklumkannya kepada mereka melalui Twitter dengan menggunakan ‘hashtag’ #BBCTrending.
Akaun twitter tersebut mulanya mengucapkan terima kasih kepada yang membuat aduan, namun berhenti selepas tiga kali berbuat demikian, mungkin kerana aduan yang diterima terlalu banyak.
Carian mudah di laman rangkaian sosial tersebut setakat jam 3:00 pagi menunjukkan ratusan tweet menggunakan hashtag #BBCTrending yang mengadu akses mereka terhadap laman laporan berita tersebut telah disekat.
Laporan tulisan Cordelia Hebblethwaite yang disebut sebagai ‘kangkung-gate’ itu meletakkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai subjek jenaka berikutan ucapan beliau di Kemaman yang bertanyakan kenapa rakyat tidak berterima kasih apabila kangkung turun harga.
Ucapan tersebut melahirkan kemarahan pelbagai pihak yang merasakan tidak senang dengan contoh yang diberikan Perdana Menteri di saat rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
Laman-laman Facebook pro-Umno sejak semalam telah bertungkus lumus menyiarkan visual-visual bagi membersihkan nama Najib Razak dari fenomena kangkung, namun masih juga menerima komen sinikal pengguna internet. – Roketkini.com
Video menunjukkan sekatan terhadap laman tersebut: https://www.facebook.com/photo.php?v=697265333646572
Tiada ulasan:
Catat Ulasan