Tengku Adnan Tengku Adnan


KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendedahkan kenaikan harga barangan antara lain berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab orang tengah yang cuba menimbulkan kebencian terhadap kerajaan.

Menurut beliau, dengan menaikkan harga barangan pada kadar tidak munasabah berbanding pengurangan subsidi, rakyat akan menyalahkan kerajaan tanpa menyedari taktik kotor itu.

"Kita sedar banyak orang tengah ini menyokong pembangkang.

"Apa yang dilakukan mereka ini gunakan kaedah ini supaya rakyat benci kepada kerajaan BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Maulidur Rasul bersama masyarakat Acheh Kampung Baru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kaedah ini terus dipakai orang tengah itu untuk memburuk-buruk kerajaan BN meski pun kenaikan kadar tol telah ditangguhkan pelaksanaannya.

Jelasnya, pengurangan subsidi yang menyebabkan berlaku sedikit kenaikan barangan perkhidmatan itu tidak dapat dielakkan bagi memastikan pembangunan negara berjalan secara berterusan.

"Kebanyakan orang tengah ini mereka sokong pembangkang, walaupun tol tidak dinaikkan, mereka terus memburuk-burukkan kerajaan.

"Kita sedar kerajaan terpaksa lakukan ini memastikan fizikal negara ini tidak mempunyai masalah, demi masa depan rakyat Malaysia juga," katanya lagi.