Jumaat, 24 Januari 2014

Ku Nan beri bayangan subsidi RON95 akan dimansuh?

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Rakyat bakal sekali lagi menjadi mangsa penipuan kerajaan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) mengumumkan dasar harga baru RON95 akan berkuatkuasa pada Mei atau Jun tahun ini.

Dengan menggunakan alasan 'memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak', satu mekanisma akan diperkenal yang membolehkan hanya golongan susah mendapat subsidi petrol.

“Gesaan ini pasti menimbulkan kegelisahan kepada golongan pertengahan apabila pemansuhan subsidi RON95 menjadi agenda sebenar,” ujar Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduann dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya SAMM menolak sebarang usaha kerajaan menaikkan harga petrol RON95 walau dengan apa pun alasan.

Katanya, rakyat sudah cukup menderita dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang melambung dan berita pemotongan subsidi ini sangat tidak membantu meredakan keresahan rakyat.

Tambahnya, SAMM percaya mekanisma bakal disusun akhirnya menjadikan rakyat Malaysia dipaksa tunduk kepada kerajaan.

“SAMM jangkakan rakyat akan diarah memohon kad subsidi dan hanya yang bergaji tertentu sahaja layak memiliki kad tersebut.

“Pada tahun 2011, Ismail Sabri ketika itu menjadi menteri bertanggungjawab pernah mencadangkan penggunaan mykad sebagai token pengantara untuk menikmati subsidi petrol,” katanya lagi.

Apa pun mekanismanya, ujar beliau SAMM menyeru kerajaan melihat kembali bagaimana ketirisan besar berlaku dalam agihan subsidi kepada nelayan.

“Jika ketirisan subsidi diesel untuk nelayan tidak mampu dibendung, bagaimana pula agihan subsidi terhadap belas juta pemandu di Malaysia?” tanya beliau.

Rakyat, katanya seolah-olah terpaksa mengemis di bumi sendiri untuk sesuap subsidi.

Ini, katanya kerana pengagihan subsidi ini juga akan menjadi sebuah lagi 'BR1M' yang memaksa rakyat akur terhadap pemerintah sampai bila-bila.

“Cukup sudah duga-menduga perasaan rakyat, SAMM yakin kali ini rakyat akan bangkit secara luar biasa setelah pemerintah tidak henti-henti mempermainkan rakyatnya. Lebih ramai yang akan memilih jalanraya, dan mungkin Putrajaya,” katanya.

Tiada ulasan: