Rabu, 22 Januari 2014

K'tan sumbang RM144,000 kepada mangsa kebakaran

SALMAH MAT HUSAIN 


RANTAU PANJANG: Seramai 72 mangsa kebakaran di kawasan bebas cukai di sini pada 7 Januari lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM144,000.

Pada kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, 72 lot kedai yang dibuat daripada kayu musnah sama sekali. Bagaimanapun kebakaran tersebut tidak memusnahkan sebuah musala yang terletak berhampiran.

Penghulu Bandar Rantau Panjang, Wan Idris Wan Deraman berkata, sehingga kini pelbagai pihak tampil membantu mangsa-mangsa kebakaran terbabit termasuk PAS kawasan yang mewujudkan tabung khas.

“Dan kelmarin Menteri Besar datang menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat.

Selaku penghulu di sini saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu.

“Ucapan tidak terhingga kepada Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan wakil rakyat yang cukup prihatin,” katanya di sini.

Bantuan kepada mangsa tersebut disampaikan Ustaz Datuk Ahmad Yakob sempena lawatan kerja ke Rantau Panjang. Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Berucap pada program berkenaan Menteri Besar berkata, sumbangan itu diberikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mangsa kebakaran.

Katanya, biar pun bantuan itu tidak dapat menampung kerugian dialami mereka, namun setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung.

“Kita juga memikir sumbangan dalam bentuk lain bagi membantu mangsa membangunkan semula perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun berkata, pihaknya mewujudkan dana khas bagi membantu mangsa kebaakaran terbabit.

Katanya, orang ramai boleh menderma melalui Tabung Pendidikan, Kemiskinan dan Bencana Alam PAS Rantau Panjang.

Sumbangan boleh disalur melalui Bank Islam dengan nombor akaun 03027010034243. Atau derma boleh disumbangkan terus kepada Pejabat PAS Rantau Panjang.

Tiada ulasan: