Rabu, 8 Januari 2014

K'jaan didesak tutup terus Kem Kamunting

 


 
Kem tahanan Kamunting di Perak telah menyaksikan puluhan individu dikurung di situ, termasuk aktivis dan ahli politik.

Tetapi walaupun selepas membebaskan kumpulan terakhir tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hujung minggu lalu, kerajaan enggan untuk menutup kem tersebut.

Marah dengan langkah itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menutup terus kem tersebut.

"Jika kerajaan ikhlas tentang transformasi politik, kem Kamunting, yang merupakan simbol kekejaman ISA, mesti ditutup," kata pemimpin GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kem Kamunting kini akan menjadi pusat tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1985.

Sejak ISA secara rasmi berakhir 17 bulan lalu, 45 tahanan dibebaskan secara berperingkat dan kumpulan enam tahanan terakhir dibebaskan Ahad lalu, selepas mereka menjalani tahanan selama dua tahun penuh tanpa bicara.

Bagaimanapun, Syed Ibrahim menyifatkannya sebagai satu  kemenangan "pahit-manis" bagi GMI, yang telah berjuang menentang ISA selama 13 tahun.

Katanya, pembebasan enam tahanan itu pada 5 Januari lalu
menggambarkan sikap angkuh kerajaan yang enggan membebaskan mereka lebih awal walaupun di bawah tekanan rakyat.

Beliau memberitahu pemberita bahawa ia juga dalam bidang kuasa menteri dalam negeri untuk membenarkannya.

Walaupun ditubuhkan pada 2001 semasa era reformasi, menurut GMI, perjuangan untuk memansuhkan ISA bermula pada 1989, apabila NGO Suaram mula memperjuangkan hak tahanan politik selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan negara dengan "Ops Lalang" pada 1987.

Walaupun gabungan 80 NGO itu mungkin membubarkan GMI, tetapi pergerakan baru untuk menentang "undang-undang zalim yang baru" dijangka muncul.

Sementara itu, pasangan bekas tahanan ISA yang bekerja untuk GMI juga berkata keluarga mereka masih berjuang untuk membebaskan diri daripada bayangan menjadi bekas tahanan.

Norlaila Othman ( kiri), yang suaminya ditahan dari 2002 hingga 2009, berkata bebas daripada Kamunting tidak sama dengan bebas daripada pemantauan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau memberi contoh bagaimana pergerakan suaminya sentiasa dipantau dan bagaimana sukarnya untuk mengekalkan pekerjaan apabila majikan mendapat tahu tentang sejarah ISA beliau.

Norlaila mendakwa salah seorang daripada enam tahanan ISA yang dibebaskan hanya beberapa hari lalu, Nazri Dollah, telah didatangi polis.

Tiada ulasan: