Isnin, 6 Januari 2014

Kes penggubahan wang haram RM6 juta: Pegawai kanan polis dipindahkan

OLEH THE MALAYSIAN INSIDER

 
Seorang pegawai kanan polis Kuala Lumpur yang disiasat kerana penggubahan wang haram bernilai RM6 juta telah dipindahkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman minggu lalu, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, perpindahan itu bertujuan untuk menghentikan beliau daripada terlibat dengan kerja “barisan hadapan” sehingga siasatan kes rasuah itu selesai.

Sumber berkata, pegawai kanan itu dipindahkan serta merta ke Sekretariat Polis, Bukit Aman.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 Disember lalu mengesahkan seorang pegawai kanan polis bergelar “datuk” telah memberikan kenyataan berkaitan kes penggubahan wang haram bernilai RM6 juta.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, pegawai polis itu telah memberikan kenyataannya di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya seminggu sebelum itu.

"Kami memanggil pegawai kanan polis itu untuk diambil kenyataannya. Dia memberikan kerjasama yang baik dan kami merekodkan kenyataannya.  Tiada tangkapan dibuat," katanya.

Pegawai itu adalah seorang daripada kira-kira 40 anggota polis yang sedang disiasat kerana penggubahan wang haram yang diperolehi daripada sindiket pelacuran, kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Adalah difahami SPRM telah memperluaskan siasatan mereka termasuk penggubahan wang haram dan rasuah oleh beberapa dozen polis di seluruh negara.

"Mereka disiasat kerana penggubahan wang haram dan sekurang-kurangnya rasuah," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

"Polis ini boleh didakwa kerana jenayah itu, bergantung kepada bukti nanti," kata sumber itu.

Sumber lain memberitahu, penggubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit mula disedari selepas satu kejadian tembak menambak dengan penjenayah pada tahun 2013 lalu dimana beberapa gangster yang disyaki ditembak mati di beberapa bandar utama.

"Kami menyiasat kaitan antara penggubahan wang haram dengan kejadian tembak menembak itu," kata sumber.

Pada November lalu, sebuah akhbar harian melaporkan bahawa tiga pegawai berpangkat timbalan penguasa, penolong penguasa dan sarjan telah ditangkap secara berasingan oleh SPRM dan semasa tangkapan itu, mereka menemui RM500,00 tunai, jam Rolex dan barang kemas.

Dua daripada pegawai yang ditahan itu telah dipindahkan ke Johor dan yang ketiga ke Negeri Sembilan, katanya dengan menambah salah seorang daripada mereka terlibat dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.7 juta dan yang lain RM4.3 juta.

Tiada ulasan: