Khamis, 16 Januari 2014

Kerajaan Pertimbang Cadangan Naik Cukai Pintu Di K. Terengganu

Ahmad Said
 MSTAR ONLINE



KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu sedia menimbang untuk menyemak semula kadar cukai pintu di kawasan kelolaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) jika ada permohonan daripada MBKT.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, beban yang terpaksa dipikul MBKT adalah terlalu tinggi dan cukai pintunya tidak pernah dinaikkan sejak 1981.

"Kita akan lihat dahulu. Jika ada cadangan dari MBKT untuk menaikkan kadar cukai pintu, kita akan buat semakan. setelah sekian lama ia tidak dinaikkan kerana ingin menjaga hati rakyat.

"Semakan semula itu dijangka dibuat tahun hadapan dengan mengikut nilaian semasa," katanya pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota Majlis PBT Terengganu 2014/2015 di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Razali Kassim.

Ahmad berkata, sepatutnya penilaian untuk kenaikan cukai pintu dibuat lima tahun sekali, namun di Kuala Terengganu cukai pintu tidak dinaikkan sejak 32 tahun lalu berbanding daerah lain yang ada membuat penilaian cukai pintu selang lima tahun sekali.

"Rakyat kena faham, apabila hasil tidak bertambah, beban makin berat manakala belanja mengurus makin meningkat di mana setiap tahun 60 peratus daripada hasil cukai diperuntukan bagi menjaga kebersihan PBT.

"Kita memperuntukkan sebanyak RM350 juta setahun untuk diagihkan kepada lapan PBT di seluruh negeri ini untuk perbelanjaan mengurus dan perkhidmatan PBT untuk keselesaan rakyat," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: