Kenaikan harga beri kesan pada insurans 
Dari kiri: Reisch, Ketua Pegawai Jualan Allianz Ong Pin Hean dan Ketua Pegawai Pemasaran Allianz Chin Tze How melancarkan kempen persaraan Allianz di Kuala Lumpur, semalam.


PERTUMBUHAN industri insurans hayat di Malaysia tahun ini dijangka lebih rendah berbanding tahun lalu dengan kenaikan harga barangan menjadi antara faktor utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurances Malaysia Bhd (Allianz Life) Jens Reisch berkata, pasaran insurans dijangka mengalami pertumbuhan satu angka tahun ini berbanding dua angka tahun lalu kerana terlalu banyak peralihan produk dilihat berlaku dalam pasaran.

"Faktor kedua pula adalah disebabkan isu kenaikan harga barangan yang mungkin memberi kesan kepada industri insurans hayat," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Persaraan Allianz Life di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, Allianz Life dijangka merekodkan pertumbuhan dua angka tahun ini tetapi lebih rendah berbanding tahun lalu. Syarikat itu bagaimanapun yakin akan merekodkan pertambahan jualan melalui kempen persaraan terbaru itu.

Mengulas mengenai kempen tersebut, Reisch berkata, Allianz Life menyasarkan untuk mencapai 100,000 pemegang polisi insurans persaraan terbaru mereka iaitu Allianz RetirePlus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Matlamat utama kami adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan simpanan selepas persaraan," katanya.

Allianz RetirePlus adalah skim insurans yang membantu pelanggan menyemai tabiat menyimpan bagi persaraan mereka.

Skim itu menyediakan satu aliran pendapatan tetap setiap tahun bagi mereka yang bersara sama ada pada usia 55 atau 60 tahun sehingga umur 81 tahun dengan polisi yang fleksibel dan pulangan munasabah.