Touch 'n Go


SHAH ALAM – Pengguna Touch ‘n Go yang belum menebus rebat Disember 2013 masih berpeluang berbuat demikian sehingga tarikh akhir Jun ini.

Pegawai khidmat pelanggan Touch ‘n Go yang enggan namanya didedahkan berkata, ini kerana syarat penebusan rebat yang perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan sebelum luput.

“Setakat ini, kami hanya menerima arahan tarikh akhir bagi pengguna yang ingin menebus rebat Disember 2013 ialah pada Jun ini. Manakala, penebusan bagi penggunaan pada tahun 2014 masih belum ada hitam putih.

“Jadi, kami tidak boleh komen mengenainya. Sekiranya ada sebarang maklumat, kami akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihak Touch ‘n Go juga telah memberi notis kepada semua pekerja di kaunter perkhidmatan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pengguna.

Ketika ditanya mengenai kesahihan pemberian rebat Touch ‘n Go sebanyak 20 peratus dimansuhkan bermula tahun ini, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh kerajaan.

“Segala keputusan terletak pada Kementerian Kerja Raya. Buat masa ini, kami belum menerima sebarang arahan.

“Oleh itu, kerja-kerja operasi dan pengurusan berkaitan hanya akan dilaksanakan selepas kerajaan membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sumber Touch ‘n Go berkata, kerajaan boleh mengambil langkah untuk memansuhkan rebat tanpa notis.

“Memandangkan ini adalah hadiah daripada kerajaan kepada rakyat, jadi itu hak mereka untuk terus atau sebaliknya.

“Pengurusan Touch ‘n Go tidak berhak untuk memberi sebarang kenyataan berhubung hal ini,” katanya.

Kadar rebat Touch 'n Go sebanyak 20 peratus diberi kepada pemegang kad yang menggunakan kemudahan tol 80 kali sebulan.