Khamis, 16 Januari 2014

JK khas temui petunjuk baru isu seleweng balak Tekih



HARAKAHDAILY 


ALOR SETAR:  Jawatankuasa Bertindak dan Mobilisasi Isu Kedah menemui petunjuk baru yang menguatkan lagi dakwaan berlaku penyelewengan balak di sepanjang lebuh raya Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH).

Dalam satu sidang media hari ini, jawatankuasa gabungan Dewan Pemuda PAS Kedah dan NGO Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima) itu mendakwa, konsesi pembalakan itu telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat Cina pada tahun 2006.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, bagaimanapun berlaku masalah sehingga syarikat tersebut dikatakan telah menyaman anak syarikat kerajaan negeri Bina Darul Aman Berhad (BDB).

BDB merupakan sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"Kami dimaklumkan bahawa jumlah saman mencecah RM23 juta. Pihak BDB telah melantik peguam. Kes berjalan dan BDB yakin boleh memenangi kes ini.

"Sebaik sahaja kerajaan bertukar 2013, BN kembali menerajui Kedah, satu keputusan yang amat mengejutkan yang pada kami mengkhianati amanah telah dibuat.

"Kes telah diselesaikan di luar mahkamah dan berjuta ringgit dibayar (kepada syarikat berkenaan)," katanya.

Tambah beliau lagi, apa yang dipertikaikan,BDB bukanlah sebuah syarikat yang teras perniagaannya adalah pembalakan.

"Pihak kami difahamkan kebanyakan keputusan hanya diputuskan oleh Managing Director BDB tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah BDB," katanya.
.
Ekoran itu, Mohd Nasir berkata, piahknya akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM serta Suruhanjaya Sekuriti bagi membuat siasatan.

"Kita juga menuntut Bursa Malaysia memberikan respon isu ini kerana BDB adalah sebuah syarikat tersenarai.

"Kita juga menuntut Kerajaan Negeri Kedah melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)- pemegang saham terbesar; yang dipengerusikan oleh Menteri Besar memberi jawapan segera isu pembayaran ini.

"Jelaskan juga kenapa wakil PKNK di dalam BDB tidak menentang penyelesaian luar mahkamah sedangkan peluang menang adalah besar," katanya.

Tiada ulasan: