Khamis, 23 Januari 2014

Jawaban balas Marinatasha terhadap alasan Castmet

HARAKAHDAILY


Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pengarah Urusan CASTMET, Tan Keh Wah dan Pengawah Kewangan CASTMET, Yong Pey Ling (Shannon Yong) berhubung insiden saya dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 di Pusat Konvensyen Sime Darby pada malam Sabtu lalu.

Saya ingin memperbetulkan persepsi awam dan media yang mungkin tersalah anggap dan tersalah lapor insiden berkenaan. Saya mengetengahkah isu rasis dan diskriminasi perkauman yang diperbuat Shannon Yong tidak membenarkan saya menyanyi semata-mata kerana saya bertudung. Jadi tidak timbul isu syarikat berkenaan tidak rasis kepada pekerja-pekerjanya.

Dalam pertemuan selepas sidang media saya, Tan Keh Wah mengundang saya ke pejabat untuk bertanya kepada pekerja yang syarikat beliau tidak rasis. Soalnya bukan layanan dia kepada pekerjanya tetapi layanan Pengarah Kewangannya, Shannon Yong kepada saya.

Saya menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh CASTMET melalui jawapan mereka kepada media yang kononnya imej saya bertudung tidak bersesuaian dan akan mengundang sensitiviti keagamaan jika saya beraksi pada malam tersebut.

Soalnya adakah mengarahkan saya turun daripada pentas ketika saya akan memulakan persembahan itu tidak bersifat sensitif? Mengapa saya tidak diberitahu hal-hal tersebut ketika hari kejadian? Mengapa semua alasan-alasan ini diberikan selepas sidang akhbar bersama Karyawan dan saya langsung tidak mengetahui mengenainya sebelum ini?

Saya melihat jawapan yang diberikan kepada media adalah untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar. Ironisnya mereka sanggup membenarkan saya membuat persembahan jika saya tidak bertudung.

Pelbagai alasan yang diberikan adalah saling bercanggah termasuk laporan polis Shannon Yong pada 20 Januari lalu. Sehingga ke hari ini jawapan versi CASTMET tidak disahkan oleh Mohd Solih Toha daripada syarikat pengurusan acara Red On Black dan Nazri daripada band Rufus. Jika terdapat sebarang salah faham antara mereka sekalipun adalah tidak adil untuk saya dijadikan mangsa tindakan rasis sebegini.

Secara konsisten, saya tidak menyalahkan sama sekali syarikat tersebut. Isunya adalah perkataan dan tindakan rasis yang diperbuat oleh Pengarah Kewangannya, Shannon Yong terhadap saya, iaitu menyatakan bahawa saya tidak boleh menyanyi kerana saya bertudung. Ini adalah satu diskrimasi jika dilihat dalam apa keadaan sekalipun.

Kerjaya saya sebagai penyanyi adalah kerjaya profesional. Majlis CASTMET bukanlah persembahan pertama saya. Saya telah berpengalaman mengendalikan acara lebih besar dengan syarikat-syarikat bukan Islam dan mereka tiada sebarang masalah dengan penampilan saya.

Berikut saya sertakan jawapan balas saya bersama beberapa keping gambar acara berkenaan untuk penilaian semua.

Alasan adanya minuman keras

Saya terkejut dengan alasan Pengarah Urusan CASTMET, Tan Keh Wah bahawa keputusan membatalkan penampilan saya kerana majlis menghidangkan minuman keras. Alasan Tan Keh Wah ini adalah perkara baru. Dalam laporan polis Shannon Yong tidak diberikan alasan minuman keras ini dan saya tidak perasaan kemunculan minuman keras kerana lebih setengah daripada tetamu adalah orang Islam.

Malah Tan Keh Wah menyatakan bahawa ianya untuk tujuan menjaga sensitiviti umat Islam. Etika pakaian saya adalah bersesuaian dengan majlis-majlis keraian. Jika mereka sensitif tentang keIslaman saya maka adakah mereka tidak tahu yang tetamu utama ialah Pengerusi CASTMET, Tan Sri Mohd Anuar Mohd Nor juga seorang Islam dan ramai tetamu lain yang berhijab dan berkopiah.

Alasan adanya tarian

Sebagai seorang penyanyi berpengalaman, saya sudah berhadapan dengan pelbagai ragam majlis dan tetamu. Apabila mengambil keputusan berhijab 2 tahun lalu, saya telah menyesuaikan persembahan saya dengan imej saya. Malah saya sendiri menolak tawaran apabila merasakan imej saya tidak bersesuaian.

Alasan perlu menari dan berinteraksi dengan tetamu bukan soalnya. Ketika Zafarina Jamhari atau Farina dari Akademi Fantasia 8 (AF8) membuat persembahan kemudian, dia juga tidak menari bersama tetamu sebagaimana yang didakwa menjadi permintaan CASTMET.

Jika benar ada aksi-aksi sebagaimana yang didakwa yang telah dibuat oleh penyanyi ganti, maka saya minta gambar atau rakaman video didedahkan untuk rakyat Malaysia menilai sendiri acara tersebut. Pada saya, majlis tersebut adalah seperti majlis makan malam syarikat-syarikat korporat lain yang biasa saya tangani.

Alasan adanya kontrak

Shannon Yong dan Tan Keh Wah mendakwa bahawa saya bukanlah penyanyi yang dipersetujui dan tidak berada dalam kontrak asal antara CASTMET dengan pembekal acara. Hakikatnya tiada sebarang kontrak bertulis, sebaliknya band Rufus dipilih kerana band ini membuat persembahan di Cafe Daud yang terletak bersebelahan dengan pejabat CASTMET di Plaza Damas. Band Rufus yang menyediakan penyanyi, pemuzik dan alat muzik pada malam tersebut.

Mohd Solih Toha daripada syarikat pengurusan acara Red On Black telah mengesahkan bahawa persembahan ini adalah secara rundingan terus daripada CASTMET dengan band Rufus. Kontrak saya pula adalah sebagai penyanyi band Rufus untuk persembahan pada malam tersebut.

Tiada sebarang perjanjian hitam putih sebagaimana yang didakwa, termasuk permintaan untuk penyanyi tidak bertudung atau artis AF. Dalam pertemuan semalam, Tan Keh Wah telah menunjukkan kepada saya satu salinan invois yang sekadar menunjukkan butiran band Rufus sahaja. Tiada nama individu diletakkan kecuali nama pengacara majlis Amber Wong. Saya adalah sebahagian daripada band Rufus kerana dipanggil oleh band tersebut untuk menjadi penyanyi utama mereka pada malam itu.

Jika benar dakwaan mereka bahawa sejak awal mereka telah meminta Farina AF8 tetapi mengapa nama Farina sendiri tiada dalam invois seperti mana nama Amber Wong? Malah Farina memberitahu saya bahawa dia baru dihubungi pada hari kejadian secara tiba-tiba beberapa jam sebelum acara bermula. Setelah sampai ke majlis itu barulah dia mengetahui perkara sebenar dan atas rasa simpati kepada saya sebagai mangsa diskriminasi, maka dia menjemput saya menyanyi secara spontan.

Lebih pelik, CASTMET mendakwa saya adalah penyanyi pengganti untuk sesi latihan pada 16 Januari di studio dan sesi raptai pada petang 18 Januari beberapa jam sebelum majlis berlangsung. Adakah saya terlalu bodoh untuk menerima tempahan menyanyi untuk sesi latihan dan sesi raptai tetapi tidak untuk majlis sebenar? Dan mengapa saya tidak diberitahu oleh mana-mana pihak termasuk CASTMET dan wakilnya sebelum insiden tersebut berlaku?

Akhirnya saya melihat jawapan-jawapan CASTMET, sama ada melalui Shannon Yong dan Tan Keh Wah adalah isu-isu baru yang ditimbulkan dan tidak relevan. Tindakan terdesak ini adalah memperlekehkan profesionalisme saya sebagai seorang penyanyi profesional dan seorang pemakai hijab.

Sekian, terima kasih.
Marinatasha Isnariah Mustapar

Tiada ulasan: