Rabu, 22 Januari 2014

Janji projek tebatan banjir sejak RMK-7



SALMAH MAT HUSAIN 


KOTA BHARU: Sejak Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) projek tebatan banjir di Sungai Golok yang diuar-uarkan kerajaan pusat, malangnya sehingga sekarang belum menjadi kenyataan.

Ekoran itu tebing Sungai Golok di sebelah Rantau Panjang mudah ditenggelami air bah setiap kali berlaku banjir. Malah tebingnya sering runtuh sehingga menyebabkan keluasan sungai melebar ke sebelah Malaysia.

Sedangkan Sungai Golok dijadikan sempadan antarabangsa memisahkan Malaysia dan Thailand. Bagaimanapun tembok batu sudah lama dibina di sebelah Thailand

Sehubungan itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan projek pembinaan tebatan banjir di Rantau Panjang bagi mengurangkan limpahan air dari Sungai Golok.

“Tebatan banjir dijangka dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung rakyat yang tinggal di pinggir Sungai Golok terutamanya di Rantau Panjang dan Tumpat,” katanya selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Sebelum ini anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, sejak akhir tahun lepas sehingga tahun baru sudah beberapa kali air Sungai Golok melimpah. (Gambar atas)

Katanya ekoran banjir menyebabkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan terlibat lumpuh kerana perniagaan di kawasan bebas cukai tidak dapat dijalankan.

Ahmad juga berkata, projek tebatan hendaklah turut meliputi jajahan Jeli memandangkan hulu Sungai Golok bermula di Jeli dan berakhir di Pengkalan Kubur.

“Kita harap kerajaan pusat mempercepatkan projek tersebut demi keselesaan rakyat,” ujarnya.

Kerajaan pusat sebelum ini dilihat lebih berminat membina pagar elektronik bagi mencegah kegiatan penyeludupan berbanding projek tebatan banjir.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pagar elektronik akan dibina bagi menyekat jenayah yang mengundang kerugian besar kepada negara.

Tiada ulasan: