Jais diminta sedia laporan lengkap  
Sallehin Mukhyi


SHAH ALAM –  Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyediakan laporan lengkap mengenai serbuan ke atas Pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) di Damansara Kim yang dilaksanakan kelmarin.

Menurutnya, beliau memanggil Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengarah Penguatkuasa ke pejabatnya semalam bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya telah minta Pengarah Jais sediakan laporan segera. Kita akan baca laporan itu sebelum membuat apa-apa kenyataan,” katanya dipetik daripada sebuah portal, semalam.

Berhubung perkara itu katanya, pihaknya juga akan bertemu Pengerusi BSM terlibat iaitu Lee Min Choon dan Setiausaha Agungnya, Simon Wong bagi mendengar penjelasan mereka.

“Saya tidak boleh sekadar mendengar satu pihak. Saya akan mendengar daripada kedua-dua belah pihak tentang hal itu,” katanya.

Berhubung perkara itu, beliau juga menasihatkan supaya Jais merujuk kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum melaksanakan sebarang tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti agama.

“Ini bukan isu naik harga. Ini melibatkan agama yang perlu diselesaikan dengan berhati-hati kerana ia terlalu sensitif. Islam adalah agama yang cantik dan bertimbang rasa. Meskipun ada masalah, selesaikan secara baik supaya masalah lain tidak timbul,” katanya.

Kelmarin, Sallehin membuat kenyataan terkejut kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai serbuan yang dilaksanakan di Pejabat BSM di Damansara Kim itu yang melibatkan 20 pegawai Jais dan 300 Bible versi Bahasa Malaysia serta Iban dirampas.

Sallehin dikatakan hanya mengetahui mengenainya apabila dimaklumkan oleh wartawan.