KUALA LUMPUR: Isu membabitkan artis Marinatasha Isnariah Mustapar yang dihalang membuat persembahan kerana bertudung harus dilihat dalam ruang lingkup yang lebih besar.
Dengan penjelasan oleh syarikat penganjur Castmet Sdn Bhd terhadap tindakan ke atas artis itu, maka isu ini menjadi lebih luas melangkaui isu tudung semata-mata.
Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor, penjelasan Casmet semalam menimbulkan persoalan baru.
Katanya, apa jenis hiburan yang mengenakan syarat supaya artis wanita yang membuat persembahan perlu menari bersama tetamu lelaki dan dengan syarat tidak bertudung?
"Persoalan lebih besar adalah bagaimana budaya dan masyarakat di Malaysia membenarkan sesuatu persembahan sehingga seseorang artis wanita dikehendaki berinteraksi dengan penonton dengan menyanyi dan menari bersama mereka, dan kriteria utamanya adalah tidak bertudung.
"Persembahan jenis apakah itu sehingga wanita bertudung dianggap tidak sesuai bagi ‘berinteraksi dan bercampur’ dengan tetamu?
"Mengapa perlu wanita tidak bertudung dijadikan syarat mengadakan persembahan jika bukan aksi ‘nakal’ diperlukan supaya penonton atau tetamu tidak merasa malu atau janggal bermesra dengan artis tersebut pada majlis yang diadakan?" soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut Riduan, ruang demokrasi di negara ini meletakkan hak asasi seseorang itu sepatutnya dihormati dan seharusnya hak untuk mana-mana artis bertudung untuk membuat persembahan perlu dihormati pihak penganjur.
Apatah lagi katanya, bertudung adalah suatu kewajipan bagi seluruh wanita Islam.
Namun kata Riduan, jika itu syarat sebegitu dikenakan penganjur maka Marinatasha sememangnya tidak sesuai pada majlis yang memerlukan aksi seperti itu.
Tetapi perkara yang lebih penting adalah Castment tidak sepatutnya menganjurkan majlis seperti itu.
"Isu ini membuka lebih banyak pendedahan bahawa terdapat majlis-majlis persembahan yang tidak dipantau dan dikawal oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam negeri-negeri.
"Mungkinkah ada pelbagai majlis hiburan lain yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat sebagai acara tahunan atau penghargaan kepada tetamunya atau kakitangan mereka sehingga memberi persembahan yang melanggar syariat Islam di negara umat Islam ini," soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan