Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulitnya supaya mendedahkan dokumen-dokumen mengikut kronologi yang berkaitan isu Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurut Sekretariat akhbar pejabat menteri besar dokumen-dokumen sulit seperti keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan surat menyurat antara Pejabat Menteri Besar, PKNS dan Setiausaha Kerajaan Negeri ini didedahkan menggunakan kuasa menteri besar yang diperuntukkan mengikut Seksyen 2 (C) Akta Rahsia Rasmi.

“Dokumen ini dikeluarkan untuk membolehkan orang ramai meningkatkan kefahaman dan berhenti membuat spekulasi kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri.

“…Kerajaan Selangor berpegang kepada prinsip pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di mana rakyat berhak diberitahu kedudukan sebenar tentang sesuatu isu,” kata sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar tersebut.