Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dan kerajaan pusat bersetuju untuk mengambil alih kawalan industri air Selangor mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 dengan Selangor menetapkan syarat iaitu meletakkan dua orang pentadbir syarikat konsesi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dua pentadbir dicadangkan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin serta Presiden Kumpulan Darul Ehsan, Suhaimi Kamarulzaman.

Abdul Khalid berkata, kedua-dua calon itu dilantik bagi menjalankan pengurusan air di negeri ini kerana Selangor memiliki kebanyakan aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

"Saya berbincang dengan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)) semalam (kelmarin) dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh dengan beberapa syarat antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang pentadbir.

"Kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat 2 dan kedua-dua pentadbir ini bertanggungjawab untuk merealisasikannya di mana perkara-perkara disebut ini sudah pun diperincikan kepada Maximus secara rasmi melalui surat dihantar pagi ini (semalam)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk menjayakan penyusunan semula industri perkhidmatan air serta pengambilalihan syarikat konsesi air kerana ternyata syarikat konsesi didakwa gagal memberi perkhidmatan yang baik dengan tarif berpatutan walaupun mengaut keuntungan tinggi.

Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk menyusun semula industri air seperti dihasratkan menerusi WSIA 2006 antaranya membatalkan penswastaan industri air supaya rakyat mendapat perkhidmatan lebih baik dengan tarif munasabah.

Katanya, kerajaan negeri memberikan komitmen melalui perbincangan berterusan sejak 2009 bersama KeTTHA, SPAN dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan negeri turut berbincang bersama empat syarikat konsesi air di negeri ini dengan menawarkan RM9.65 bilion untuk mengambil ekuiti syarikat berkenaan.

"Walau bagaimanapun, perbincangan kami lakukan atas dasar 'willing buyer willing seller' seperti ditetapkan kementerian gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu 31 Disember tahun lalu.

"Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor," katanya.