Rabu, 22 Januari 2014

Insiden Marinatasha: Mana garis panduan hiburan?

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Insiden terbaru membabitkan artis Marinatasha Isnariah Mustapar yang dihalang membuat persembahan kerana bertudung menimbulkan kembali persoalan mana garis panduan hiburan untuk diikuti oleh artis dan juga penganjur.

Bagi Dewan Pemuda PAS, insiden ini jika tidak ditangani dengan baik, boleh mencetus kepada salah faham agama.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Akmal Kamarudin berkata, insiden ini menjelaskan betapa perlunya satu garis panduan etika dan syarat hiburan kepada penganjur dan artis yang ingin membuat persembahan.

Ianya penting bagi kedua-dua pihak memahami dan saling menghormati hak masing-masing agar insiden sebegini tidak lagi berulang.

Beliau mencadangkan, antara lain bahawa semua artis wanita muslim dibenar menutup aurat sesuai dengan tuntutan agama.

"Pada masa sama, artis yang beragama Islam tidak dibenarkan membuat persembahan di majlis-majlis yang ada hidangan minuman keras dan unsur-unsur yang tidak sihat.

"Dan setiap program hiburan yang dianjurkan mestilah tidak ada percampuran yang melampau antara lelaki dan perempuan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada sidang media semalam, Marinatasha melahirkan rasa kesal beliau dengan tindakan penganjur yang menghalang beliau dari membuat persembahan di satu majlis keramaian 18 Januari lalu atas alasan kerana berhijab.

Menurut penyanyi itu lagi, insiden tersebut adalah yang keempat bagi dirinya apabila diminta membuka tudung jika mahu membuat persembahan.

Sementara itu, syarikat penganjur Castmet Sdn Bhd menjelaskan insiden halangan itu bukan didasari sikap rasis atau diskriminasi, tetapi kerana penyanyi itu bukan artis yang dipersetujui oleh pengurusan majlis.

Ini kerana, perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat pengurusan yang telah melantik kumpulan nyanyian malam itu tidak melibatkan penyanyi wanita bertudung kerana majlis malam itu ada menghidangkan minuman keras.

Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut, Akmal berkata pihaknya menyokong sikap artis tersebut yang teguh dengan pendiriannya iaitu kekal bertudung dan mempertahankan haknya sebagai individu muslimah.

Mereka juga menyokong tindakan Presiden Karyawan iaitu Datuk Feddie Fernandez yang sanggup mengetengahkan isu ini walaupun beliau bukan seorang Islam.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak wajar untuk bersemuka dan berbincang dengan lebih mesra agar insiden ini tidak mengundang suasana yang tidak elok dalam negara sekiranya dibiarkan berlarutan.

Tiada ulasan: