Khamis, 9 Januari 2014

Individu dipertikai integriti terajui GLC Kedah?

IZWAN ABDUL HALIM


ALOR SETAR: Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah mempersoalkan pengumuman oleh Bina Darulaman Berhad (BDB) kepada Bursa Malaysia mengenai calon Pengarah Urusan Kumpulan itu sebagaimana dilaporkan akhbar The Star siaran 8 Januari baru-baru ini.

Menurut beliau, dari maklumat diperolehinya, perkhidmatan individu tersebut di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang akan tamat pada 31 Januari ini, mendapat rungutan banyak pihak.

"Terdapat rasa tidak puas hati terhadap beliau dari kalangan Ahli Lembaga Pengarah PNMB, pihak pengurusan PNMB serta kakitangan PNMB.

"Malahan terdapat 'ugutan' dikeluarkan pihak Kesatuan Sekerja PNMB bahawa sekiranya kontrak beliau dilanjutkan, mereka akan turun berpiket!

"Sudah tentu kesemua pihak tersebut mempunyai sebab mereka tidak mahu kontrak beliau dilanjutkan," ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah.

Jelas Amiruddin, beliau difahamkan individu sedang disiasat oleh pihak Juru Audit Khas Kementerian Kewangan atas beberapa salah laku.

Selain itu, kakitangan juga sanggup turun berpiket kerana didakwa beliau mempunyai masalah 'public relation' PR yang kronik dengan kakitangan.

"Kita tidak mengatakan bahawa beliau bersalah di atas kes-kes salah laku yang masih dalam peringkat siasatan.

"Namun pihak BDB atau Kerajaan Negeri Kedah yang merupakan pemegang saham terbesar dalam BDB melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) seharusnya mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga diputuskan sama ada beliau bersalah atau tidak.

"Ini adalah kerana beliau akan menjadi peneraju utama di BDB dan adalah amat malang sekiranya individu yang tercalar integritinya di syarikat lain diambil untuk mengepalai satu-satunya syarikat kerajaan negeri yang tersenarai dipapan utama Bursa Malaysia," ujarnya.

Terang Amiruddin lagi, beliau bertanya kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (sekitar bulan Jun 2013) mengenai kedudukan Pengarah Urusan Kumpulan BDB yang lalu.

Ketika itu beliau masih berkhidmat serta berjaya meningkatkan prestasi BDB dari keuntungan sebanyak RM16.5juta pada tahun 2007 kepada RM30.1juta pada tahun 2012. Malah, kontrak perkhidmatannya hanya akan tamat pada Mac 2015.

Bagaimanapun, Mukhriz memberitahu yang Pengarah Urusan Kumpulan tersebut akan diberi notis untuk diberhentikan kerana sudah mempunyai calonnya sendiri dengan visi baru untuk BDB.

"Namun setelah hampir 7 bulan kemudian baru pengisian jawatan ini dibuat. Saya menjangkakan yang MB mempunyai calon yang 'extraordinary' dan mungkin berjaya menarik minat anak Kedah yang berada di luar negara melalui Talent Corp untuk kembali menabur bakti di Kedah.

"Apakah setelah 7 bulan berlalu, seorang yang integritinya dipersoalkan diambil untuk mengepalai BDB? Saya juga mendapat maklumat terdapat perkara yang 'aneh' berlaku setelah individu tersbut dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah BDB dan Pengerusi Exco sehingga BDB hilang hasilnya berjuta-juta ringgit.

"Saya belum bersedia untuk mendedahkan perkara ini kerana masih mengumpulkan maklumat. Saya menyeru kepada MB Kedah untuk menangguhkan pelantikan individu terbabit sebagai Pengarah Urusan Kumpulan BDB sehinggalah dibuktikan tiada kes salah laku semasa beliau di dalam PNMB.

"Sudah tentu Negeri Kedah yang berbangga menjadi negeri pertama yang menandatangani Janji Integriti dalam memerangi rasuah dan salahguna kuasa, seharusnya 'walk her talk' dengan tidak melantik mana-mana individu yang tercalar integritinya," pertikai Amiruddin.

Tiada ulasan: