Tengku Adnan



KUALA LUMPUR - Para peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan di sebalik pengurangan subsidi kerajaan dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang membebankan pengguna.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran sekiranya mereka engkar, keuntungan berlipat ganda itu boleh dianggap haram kerana kenaikan itu tidak mengikut ukuran sebenar.

"Ahli peniaga kena ingat, kalau kamu makan lebih (ambil untung), hukum ALLAH adalah haram, jadi peniaga kena berhati-hati dalam hal ini.

"Mustahil apabila kerajaan kurangkan subisidi gula 34 sen, peniaga makanan boleh naikkan 30 sen harga segelas teh tarik, bukannya buat air guna sekilo gula," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Maulidur Rasul bersama masyarakat Acheh Kampung Baru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya supaya memantau kedai-kedai di sekitar bandaraya tersebut bagi memastikan peniaga mempamerkan harga yang berpatutan sahaja.

Tegasnya, sekiranya mereka engkar dan didapati menaikkan harga barangan secara 'melampau', tindakan menarik balik lesen perniagaan mereka boleh dikenakan terhadap mereka.

"Saya telah minta pihak berkuasa tempatan ini supaya memantau kedai bagi membantu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Perdagangan supaya barangan yang dijual kepada rakyat itu pada harga yang berpatutan.

"Saya juga telah beri arahan jika mereka tidak patuh kepada arahan ini, kita akan ambil tindakan bahawa kita akan tarik balik lesen perniagaan," katanya lagi.