Fama akui perbezaan harga  
Harga sotong yang dijual di pasar tani sekitar Kluang semalam.

KLUANG - Tinjauan Sinar Harian ke sebuah pasar tani dan pasar awam, di sini, mendapati ada perbezaan pada harga barangan basah dijual di kedua-dua tempat itu.

Harga ikan menunjukkan perbezaan, dengan selar kuning dijual pada harga RM10 sekilogram, udang putih (RM20), sotong (RM20), pelaling (RM10), selar papan (RM12), cencaru (RM9) dan ayam proses (RM7.50).

Di Pasar Awam Kluang pula, selar kuning dijual RM8 sekilogram, udang putih (RM18), sotong (RM15 hingga RM16), pelaling (RM8), cencaru (RM8) dan ayam proses (RM6.80 hingga RM7.20).

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kluang, Abdul Rahman Mohd Noor akui perbezaan harga di dua tempat itu.

Menurutnya, perlaksanaan program Jimat Belanja Dapur yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani minggu lalu belum dilaksanakan di lima pasar tani di bawah pentadbiran Fama Kluang.

“Pihak kami akan memberikan penerangan kepada peniaga pasar tani sepanjang minggu ini dan perlaksanaan program Jimat Belanja Dapur hanya akan mula dilaksanakan minggu hadapan.

“Sebanyak 22 barang keperluan harian akan dijual pada harga antara lima dan 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran akan dipatuhi oleh peniaga,” katanya.  

Abdul Rahman berkata, harga barangan yang diletak oleh peniaga agak tinggi disebabkan hampir semua peniaga di pasar tani itu mendapat bekalan daripada pembekal yang membekalkan barang-barang ke Pasar Awam Kluang.

“Mengenai kegagalan peniaga meletakkan tanda harga adalah berpunca daripada sikap peniaga itu sendiri kerana arahan dan pemantauan sentiasa dilakukan, namun ia tetap berulang setiap kali operasi pasar tani diadakan.

“Apa yang saya harap selepas ini peniaga akan mematuhi arahan yang diberikan dan menjual harga barangan basah mereka dengan berpatutan,” katanya.