Sabtu, 4 Januari 2014

Exco agama S'gor jumpa Lawrence Selasa ini

MALAYSIA KINI

 
 
 
Exco Agama Selangor, Salehen Mukhyi akan mengadakan perjumpaan dengan editor The Herald, Lawrence Andrew Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan Sultan Selangor.

"Kerajaan negeri, selari dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati agama Islam sebagai agama rasmi manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Semua rakyat Selangor tidak kira agama atau kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain yang telah terjalin sejak sekian lama," kata Salehen dalam satu kenyataan hari ini

NGO Islam sebelum ini membantah kenyataan editor mingguan The Herald itu bahawa gereja-gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Isu itu tercetus selepas pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan merampas 351 salinan Bible dalam Bahasa Maysia dan versi bahasa Iban yang mengandungi perkataan 'Allah' daripada Bible Society Malaysia (BSM) Khamis lalu.

JAIS sebelum ini telah mengingatkan semua gereja di Selangor supaya mematuhi larangan penggunaan kalimah 'Allah' sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Sementara itu, Salehen menegaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius insiden serbuan JAIS terhadap pejabat BSM Khamis lalu.

"Ia merupakan kejadian kedua yang melibatkan JAIS dan penganut Kristian selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada tahun lalu.

"Selepas kejadian tersebut, kerajaan negeri telah meminta JAIS menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini  bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka," katanya.

Berhubung kejadian perampasan Bible dalam bahasa Melayu Khamis lalu, Salehen berkata, beliau telah meminta pengarah JAIS mendapatkan segera laporan terperinci kejadian termasuk meneliti hasil siasatan yang dikatakan telah dilakukan.

"Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri meneliti dan menyemak operasi yang dijalankan kerana ianya merupakan perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.

"Semakan hendaklah  antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh JAIS dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan," tambah Salehen.

Tiada ulasan: