Selasa, 7 Januari 2014

Enam das tembakan disasar ke rumah YDP Besut

SINAR HARIAN


Pistol  
Gambar Hiasan


BESUT - Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kapas di sini hari ini.
  
Ketika kejadian pada 6.15 pagi, Ibrahim Mohamad, 55, bersama isteri dan seorang anak mereka berada di dalam rumah dan mereka terdengar beberapa bunyi letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman mereka.
  
Kejadian itu hanya disedari pada 8.30 pagi apabila isteri YDP majlis daerah itu keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin keretanya serta menemui serpihan peluru di perkarangan rumah banglo setingkat itu.
  
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata wanita berkenaan kemudian menelefon suaminya yang ketika itu berada di pejabat dan memaklumkan mengenai perkara itu.
  
Polis dapati enam das tembakan dilepaskan iaitu dua terkena pada rumah manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz CLK320 mangsa, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Jamshah berkata polis tidak menolak kemungkinan tembakan itu dilepaskan sebagai tanda amaran.
  
"Mangsa memaklumkan dia tidak mempuyai musuh dan kami tidak menolak kemungkinan kejadian ini bermotifkan rasa tidak senang hati pihak tertentu terhadap tugas mangsa," katanya.
  
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya tembakan dilepaskan dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter dan dilakukan oleh lebih seorang suspek.
  
Pihak forensik menemui satu kelongsong peluru jenis 9mm Luger Speer di atas jalan di hadapan rumah itu.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak menyangka bunyi letupan yang didengari di luar rumah sewanya pada jam 6.15 pagi itu adalah bunyi tembakan senjata api
  
"Saya keluar rumah untuk ke pejabat kira-kira pukul 8 pagi dan tidak perasan dengan kesan tembakan pada kereta dan rumah sewa.
  
"Bagaimanapun apabila tiba di pejabat, isteri telefon beritahu cermin keretanya pecah dan ada kesan tembakan," katanya menambah beliau kemudian bergegas pulang sebelum membuat laporan polis.
  
Ibrahim berkata beliau tidak tahu motif kejadian dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
  
"Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: