Jumaat, 3 Januari 2014

Diskaun RM100k bukan untuk Guan Eng saja

MALAYSIAKINI

Tawaran diskaun menarik sebanyak RM100,000 bagi kereta Mercedes Benz S300L untuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menimbulkan persoalan sama ada ia mengandungi tujuan tersirat.

Tidak, kata seorang peniaga. Tawaran itu, dedahnya, bukan eksklusif untuk Lim sahaja.

Diskaun tersebut adalah sebahagian daripada tawaran akhir tahun dan  jualan penghabisan stok Mercedes Benz kepada sesiapa yang membeli model 2012 Mercedes Benz S Class, demikian menurut laporan The Star yang memetik seorang peniaga yang tidak dinamakan.

"Diskaun itu ditawarkan kepada sesiapa sahaja, termasuk pembeli individu, selagi stok 2012 masih ada," lapor akhbar berbahasa Inggeris itu.

Bagaimanapun, katanya, diskaun itu tidak terpakai kepada model yang lebih baru.

Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pada 31 Disember tahun lepas, pembelian Mercedes Benz S300L, yang akan menjadi kenderaan rasmi baru ketua menteri pada harga RM298,263.75.

Pegawai Kewangan Negeri, Mokhtar Mohd Jait yang mempertahankan pembelian kereta, berkata harga asalnya adalah RM657,218 tetapi kerajaan negeri diberikan pengecualian cukai dan diskaun sebanyak RM100,000.

Mokhtar juga mengesahkan kemudiannya bahawa Mercedes Benz S300L yang dibeli untuk Lim itu adalah model 2012.

Tiada ulasan: