Anwar Ibrahim  
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lima lagi, hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan Bersih 3.0, dua tahun lalu.

Memetik laporan sebuah portal berita, Hakim Ahmad Bache, dalam penghakimannya, turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu permohonan di Mahkamah Persekutuan.

Ahmad Bache, berkata permohonan pembelaan dibenarkan kerana pertuduhan adalah tidak berasas dan cacat.

Pada 22 Mei 2012, Anwar, 65, dituduh secara bersama-sama dengan Mohamed Azmin Ali, 49, dan Badrul Hisham, 35, menyertai protes jalanan di Dataran Merdeka pada 28 April tahun yang sama dan mereka didakwa mencetuskan huru-hara di ibu negara.

Ketiga-tiga mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim dengan cara menghasut mereka untuk mengalih penghadang besi di Jalan Raja pada hari sama.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.