Jumaat, 3 Januari 2014

“Apa kelayakan MP Bintulu jadi Duta Khas, gaji lebih dari Menteri?

KEADILAN DAILY

Sim


KUALA LUMPUR : Ahli parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempersoalkan langkah kerajaan melantik ahli parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sin sebagai Duta Khas ke Korea dan Jepun.

Menurut Sim, jawapan yang diperolehinya di Parlimen sebelum ini menyatakan, Duta Khas mendapat gaji bulanan RM27,227.20, lebih tinggi daripada menteri.

“Apakah kehebatan Datuk Seri Tiong, sehinggakan beliau dilantik ke jawatan yang seolah-olah begitu penting?

“Kalau dilihat dari segi kepakaran adakah beliau pakar geo-politik Asia Timur? Adakah beliau pakar ekonomi dan perdagangan Asia Timur yang tersohor?

“Adakah ini satu ganjaran politik kepada beliau akibat tidak dilantik menjadi menteri?, soal Sim dalam kenyataan.

Menurut Sim, oleh kerana mereka berstatus menteri, mereka menikmati elaun dan kebajikan setaraf menteri termasuk pejabat dibiayai kerajaan.

tiong-king-sing
MP Bintulu, Tiong King Sing

Manakala ada sesetengah duta khas diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring PDRM.

“Kesemua ini memakan belanja yang besar. Maka secara konservatif, perlantikan duta-duta khas kerajaan akan berbelanja lebih RM2 juta setahun,” kata Sim.

Katanya, Malaysia mempunyai duta professional yang berfungsi dengan baik di negara Asia Timur selain peranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mengendalikan urusan perdagangan.

“Kerajaan harus menjelaskan mengapa perlunya lantikan Duta Khas. Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan 11 langkah pengurangan kos kerajaan (austerity measures).

“Beliau harus mengumumkan langkah ke-12 iaitu penghapusan semua 4 duta-duta khas dan 13 penasihat khas mahal di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata Sim.

Tiada ulasan: