Selasa, 21 Januari 2014

Anifah: Tak sangka saya begitu berkuasa

MALAYSIAKINI

 
 
 
Kerajaan Malaysia tidak ada kena mengena dengan keputusan kerajaan Jepun menghalang pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
  
Beliau berkata setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menghalang sesiapa sahaja yang mereka fikirkan tidak diingini daripada memasuki negara mereka atas apa jua sebab.
  
"Dan selalunya, mereka tidak perlu memberi penjelasan mengenai keputusan yang diambil itu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.
  
Dalam kenyataannya semalam, Anwar berkata beliau dihalang memasuki Jepun sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.45 pagi Ahad dan diminta menaiki pesawat pertama yang berlepas pulang atau menghadapi tindakan pengusiran.
  
Anifah menyifatkan dakwaan 'ada tangan tersembunyi' yang mungkin memainkan peranan dalam keputusan kerajaan Jepun itu sebagai sesuatu "yang tidak masuk akal" kerana sepanjang pengetahuannya, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi negara seperti Jepun supaya menyekat mana-mana individu daripada memasuki negara itu.

"Sebenarnya, saya berasa sungguh bertuah kerana selama ini saya sendiri tidak pernah tahu bahawa saya begitu berkuasa hingga boleh mempengaruhi kerajaan Jepun," sindir Anifah ketika mengulas gesaan Anwar supaya Kementerian Luar memberi penjelasan mengenai peranannya dalam perkara itu.
  
Anifah berkata Kedutaan Malaysia di Tokyo dimaklumkan bahawa keputusan kerajaan Jepun itu dibuat mengikut peruntukan Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Orang Pelarian, Seksyen II, Perkara 5(iv) yang menyebut:
  
"Seseorang yang disabitkan kesalahan melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan Jepun, atau mana-mana negara lain, dan dijatuhi hukuman penjara dengan dikenakan perintah bekerja atau tidak bekerja selama setahun atau lebih, atau penalti yang sama dengannya. Bagaimanapun, ini tidak terpakai terhadap mereka yang disabitkan dalam kesalahan politik".
  
Anifah juga menyatakan kes di mana Malaysia menghalang seorang ahli politik Australia memasuki negara ini, sebagai contoh beliau mempunyai prerogatif untuk tidak memberi sebarang penjelasan kepada rakan sejawatannya dari Australia berhubung tindakan itu.
  
Beliau juga mengulas kes sepasang suami isteri Malaysia yang kini ditahan di Sweden kerana didakwa memukul tangan seorang daripada empat anak mereka.

"Kami telah berbincang dengan pegawai kebajikan di Sweden. Tiga daripada empat pegawai kami berjumpa dengan mereka dan kami meminta supaya anak-anak itu diserahkan kepada, pertama, seorang Muslim, dan kedua, rakyat Malaysia.
  
"Mereka akan menimbang permintaan ini dan kami akan membuat susulan dari semasa ke semasa," kata Anifah.
  
Beliau juga berkata kerajaan Sweden telah melantik penasihat undang-undang untuk pasangan itu.
  
Menurutnya Wisma Putra berusaha sedaya upaya untuk memastikan pihak berkuasa Sweden menyegerakan siasatan itu supaya kes berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.
  
Menurut laporan berikutan penahanan pasangan itu pada 18 Dis lepas, anak-anak mereka kini diletakkan di bawah jagaan sebuah keluarga Sweden.

Dalam pada itu, Anifah mengucapkan takziah kepada keluarga seorang rakyat Malaysia yang terbunuh dalam satu serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan pada petang Jumaat.
  
"Kami amat sedih dengan apa yang berlaku di Afghanistan kerana beliau seorang lelaki budiman, seorang penasihat ekonomi kepada Adam Smith (International) yang memberi nasihat kepada kerajaan Afghanistan," katanya tanpa mendedahkan nama mangsa.
  
Rakyat Malaysia itu, Dr Gnanathurai Nagarajah, ahli ekonomi dan bekas penjawat awam, bertugas sebagai penasihat dasar belanjawan dan pembaharuan dengan badan yang berpejabat di London itu untuk membantu melakukan pembaharuan dalam belanjwan negara Afghanistan.
  
Anifah berkata Wisma Putra dimaklumkan bahawa keluarga mangsa berurusan dengan syarikat itu untuk membawa pulang mayat mangsa ke Malaysia.
  
Sementara itu, beliau mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian serangan bom terbaru di Bangkok.- Bernama

Tiada ulasan: