Isnin, 13 Januari 2014

Adakah Shafee ‘layak dan sesuai’ ketuai pendakwaan kes liwat Anwar

OLEH V Anbalagan, PENOLONG Pengarang BERITA

Peguam negara diminta mengkaji semula kelayakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam mengetuai kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar fail.Peguam negara diminta mengkaji semula kelayakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam mengetuai kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar fail.



























Peguam Negara (AG) perlu mengkaji sama ada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah "layak dan sesuai" untuk mengetuai pasukan pendakwaan bagi  mengetepikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat selepas mahkamah memutuskan peguam Umno itu bersalah kerana salah laku profesional, kata sekumpulan peguam.

Penasihat Peguam untuk Kebebasan, Eric Paulsen, berkata walaupun pelanggaran peraturan publisiti yang dihadapi Shafee bukan satu kesalahan serius, ia adalah satu tambahan untuk Tan Sri Abdul Gani Patail membuat pertimbangan.

"Abdul Gani perlu mengkaji sama ada Shafee merupakan seorang yang layak dan sesuai, tambahan kepada senarai panjang persepsi negatif terhadap peguam Umno itu untuk mengetuai pasukan pendakwaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Paulsen berkata, pelanggaran kepada peraturan "kenyataan yang bersifat pujian" tidak berapa serius berbanding melanggar peraturan yang mengawal konflik kepentingan.

Beliau berkata, Shafee adalah seorang peguam Umno yang terkenal dan muncul dalam mahkamah dan nasihat yang ditawarkan dalam beberapa perkara membimbangkan pihak berkepentingan.

Katanya, Shafee bertindak sebagai penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, semuanya musuh ketat Anwar.

Beliau berkata, Shafee juga mewakili pihak defendan  berprofil tinggi dalam kes fitnah yang difailkan oleh Anwar.

"Walaupun Pendakwa raya tidak bertanggungjawab untuk menentukan bersalah atau tidak bersalah pihak dituduh tetapi  dia perlu memastikan bahawa tertuduh menerima perbicaraan yang adil," kata peguam hak asasi manusia itu.

Paulsen mempersoalkan mengapa Shafee dipilih untuk memimpin pasukan pendakwaan ini walaupun jelas dia ada konflik kepentingan, dan tidak sesuai, di samping Jabatan Peguam Negara mempunyai sumber tenaga yang ramai dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berkelayakan untuk berhujah dalam rayuan kes liwat itu.

Dalam permohonan kedua untuk membatalkan Shafee, Anwar berkata, peguam kanan itu juga melanggar Akta Profesion Undang-undang (LPA) kerana peranannya sebagai DPP akan menimbulkan percanggahan kepentingan.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Shafee terhadap Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara yang mengenakan denda kepadanya sebanyak RM5,000 kerana melanggar peraturan publisiti di bawah LPA.

Hakim Datuk Zaleha Yusof, berkata adalah tidak perlu untuk "mengganggu" penemuan lembaga yang mendapati Shafee bersalah atas salah laku profesional.

Pada 27 September 2009, akhbar The Star memaparkan artikel mengenai Shafee yang dikatakan "bersifat pujian" terhadap peguam Umno.

Pada 2010, pengerusi Majlis Peguam ketika itu Ragunath Kesavan melaporkan perkara itu kepada Lembaga Tatatertib berikutan penerbitan artikel berkenaan.

Shafee diheret ke depan lembaga dan didenda RM5,000 pada 5 Oktober 2012, kerana salah laku.
Shafee dilantik sebagai DPP pada Ogos 2013 dengan alasan rayuan kes liwat adalah kes khas yang memerlukan kepakaran luar.

Anwar mulanya mencabar kesahihan pelantikan Shafee di bawah Kanun Tatacara Jenayah tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 20 November.

Permohonan kedua untuk membatalkan Shafee dibuat berdasarkan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, namun ia juga ditolak pada 20 Disember oleh Mahkamah Rayuan.

Antara lain, Mat Zain, di dalam 31 muka surat SD itu berkata, dia bertemu Shafee dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusof dan kemudiannya ke rumah Dr Mahathir tahun lalu, di mana mereka didakwa membincangkan salah laku Peguam Negara.

Sejak itu Anwar memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan pelantikan Shafee tetapi belum ada tarikh ditetapkan bagi mendengar kes itu.

Pada 9 Januari 2012, Anwar , 66, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 2008.
Rayuan akan didengar pada 12 Februari ini.

Tiada ulasan: