Isnin, 13 Januari 2014

60 Lagi KR1M Dibuka Tahun Ini - Hasan Malek

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuka 60 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara tahun ini dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata KR1M yang menawarkan harga sehingga 50 peratus lebih rendah daripada harga runcit biasa mendapat sambutan tinggi rakyat.

"Kementerian sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membuka KR1M di negara ini, terutama Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur di Pudu Sentral di sini, Isnin.

Setakat ini, kerajaan membuka 125 KR1M di seluruh negara dan menawarkan 397 produk berjenama 1Malaysia.

Beliau juga berkata KR1M bukan sahaja membantu meringankan beban sara hidup rakyat, malah turut membantu peniaga kecil mengurangkan kos pembelian dengan mendapatkan barangan perniagaan secara borong pada harga berpatutan.

Hasan berkata kementerian komited untuk menyampaikan maklumat secara berterusan kepada rakyat bagi memastikan tidak ada rakyat yang ketinggalan atau salah faham dengan inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

Beliau berkata rakyat juga terbuka untuk memberi maklum balas, pandangan atau aduan terhadap semua inisiatif itu bagi tujuan penambahbaikan dan kesejahteraan rakyat.

Selain KR1M, kerajaan turut memperkenalkan antaranya Kedai Kain Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, pakej Menu Rakyat 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia. - BERNAMA

Tiada ulasan: