Jumaat, 15 Februari 2013

Umno tidak tipu: PAS nafi penjelasan Tun M

 Oleh Siti Sofia Md Nasir
 

Post Pic

SHAH ALAM: PAS hari ini menyangkal kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjelaskan tiada penipuan oleh Umno semasa parti Islam itu berada di dalam Barisan Nasional (BN).
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata Dr Mahathir telah melakukan banyak penipuan kepada rakyat Kelantan dan juga rakyat Malaysia selain menjadi punca PAS keluar BN.
 
Menceritakan kembali peristiwa perpecahan BN dan PAS, Khalid berkata ia berlaku ketika masalah pelantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasir.
 
Menurutnya, BN telah merampas kuasa kerajaan Kelantan ketika pengisytiharan darurat dan ia adalah faktor utama mengapa PAS keluar BN.
 
"Kalau tidak ditipu, kenapa kita keluar? Semasa krisis di Kelantan, semasa kita bersama BN, pihak Umno telah memihak kepada Datuk Nasir. Ini menimbulkan krisis dari segi pelantikan MB sedangkan keputusan siapa patut jadi MB perlu diserah kepada parti.
 
"Tetapi apabila Nasir telah dilantik oleh Adun-adun termasuk Umno, maka ia menimbulkan masalah dan ini menyebabkan berlakunya perpecahan dan perbalahan.
 
"Hasil daripada itu, Umno dapat bertapak buat seketika di Kelantan kerana sebelum itu Kelantan sentiasa berada dalam pemerintahan PAS.
 
"Apabila timbul krisis itu dan Ibrahim Ali bakar beberapa biji tayar untuk menunjukkan huru-hara, maka berlakulah pengisytiharan darurat. Mereka telah rampas kuasa dan ini yang menyebabkan PAS keluar BN," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Dalam entri terbaru blog Dr Mahathir, beliau menyatakan Umno tidak pernah menipu PAS seperti yang didakwa Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Katanya perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno dan kekalahan parti itu pada pilihan raya negeri Kelantan pada Mac 1978 menyebabkan ia keluar daripada BN.
 
"Perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno tetapi kerana Datuk Nasir mencabar kepimpinan Presiden PAS ketika itu, Datuk Asri Muda.
 
"Kerana PAS berpecah, kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytiharkan dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.
 
"Pada Mac 1978 pilihan raya negeri diadakan di Kelantan. Mohd Nasir menubuhkan parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya dua kerusi," ujarnya dalam laman blog.
 
Sementara itu, usaha Antarapos untuk mendapatkan reaksi daripada pemimpin tertinggi PAS yang lain gagal apabila beberapa pemimpin seperti Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: