Harakahdaily, |
“Mereka ini sudah dikenali bermasalah di dalam parti. Sekarang mereka menjadi hulu kapak untuk menebang PAS,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Menurutnya, mereka hanya laku sebelum pilihanraya sahaja, selepas pilihanraya mereka akan menjadi sisa toksid yang tidak dipedulikan oleh Umno lagi.
Katanya, kenapa mereka tidak belajar daripada sejarah orang-orang yang terdahulu yang khianat perjuangan PAS.
“Ada yang berjawatan Yang Dipertua PAS, Panglima Jihad, Setiausaha Agung, Naib Presiden PAS, Ahli Majlis Syura, apabila mereka menyertai Umno dan menyokong Umno akhirnya seperti habis madu sepah dibuang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Paling menyedihkan sekali, ujarnya tidak ada kemulian dan penghormatan di kalangan masyarakat, hatta ahli Umno sendiri terutama apabila mereka berada di penghujung usia.
Tambahnya, yang paling lucu sekali mereka ini, kononnya tidak puas hati hubungan PAS di dalam Pakatan Rakyat sedangkan Majlis Syura PAS telah meluluskan tahaluf siasi sejak tahun 1986.
“Merekalah berdegar-degar mempertahankan tahaluf siasi ketika memimpin PAS. Kenapa sekarang baru hendak pertikai, setelah tidak berada di dalam saf kepimpinan parti?” tanya Idris.
Bagi beliau, alangkah ruginya usia dan tenaga dihabiskan untuk bersama dengan PAS, tetapi menjadi penentang ketika usia di hujung senja.
“Kenapa tidak bersama dengan Umno ketika usia masih muda dan banyak nikmat dunia boleh dikecapi?” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan