Sabtu, 16 Februari 2013

Umno tergugat di kubu sendiri

Malaysiadail

JOHOR antara negeri yang disebut-sebut bakal beralih penerajunya dalam PRU13. Justeru, kami terpanggil untuk melihat sendiri bagaimana perkembangan terkini situasi politik di negeri yang pernah dikenali sebagai kubu kuat Umno ini, menjelang tarikh pembubaran Parlimen.

Apatah lagi dengan kepulangan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, ke negeri kelahirannya, membantu Pesuruhjaya Negeri, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad. Banyak pemerhati menjangkakan Johor bakal menyaksikan tsunami baharu, seterusnya memudahkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Krew Harakah yang diketuai Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman bertolak ke Johor pada pagi 8 Februari lalu, dan destinasi pertama yang ditujui adalah Johor Bahru dan Parlimen Pulai.

Kehadiran kami disambut Salahuddin dan Setiausaha Perhubungan PAS Johor, Onn Jaafar di bilik gerakan pilihan raya PAS Pulai, Taman Munsyi Ibrahim, JB.

Kebetulan semasa ketibaan kami, penyair yang sedang meningkat, Amni Jagat turut berada di Pulai bersama beberapa petugas PAS di sini.

Kami terus bersembang santai dengan Salahuddin, yang kelihatan agak letih tetapi tetap ceria. Turut serta Yang Dipertua PAS Pulai, Abdullah Ideris, yang berbicara mengenai prospek PAS dan Pakatan Rakyat di negeri yang diterajui Umno sejak 55 tahun lalu.

Banyak isu dan pengalaman baru dikongsi. Salahuddin yakin 12 kerusi Parlimen di Johor mempunyai peluang cerah dalam PRU13 ini memandangkan ‘mood’ rakyat di seluruh negeri, terutama kawasan bandar dan pinggir bandar, mahukan perubahan.

Salahuddin juga optimis jika ada lonjakan pengundi Melayu pada tahap 35 hingga 45 peratus dan disokong dengan pergerakan undi bukan Melayu yang kini cukup terarah kepada Pakatan, maka penguasaan BN di Johor boleh ditamatkan.

Namun dalam perbincangan sama, Salahuddin mengakui agak sukar untuk menembusi undi Melayu di sesetengah kawasan khasnya kampung-kampung tradisi dan Johor Timur (Mersing, Kota Tinggi, Tenggara) kerana pengaruh Umno yang masih menebal di sana.

Begitupun perkembangan yang baik ditunjukkan pengundi Melayu di kawasan Pulai, Johor Bahru, Ayer Hitam dan beberapa kawasan lain yang mana peningkatan pada tahap melebihi 30 peratus.

Perkembangan ini tercetus kerana masyarakat Melayu di kawasan bandar, khasnya di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), terkesan dengan kerakusan kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Abdul Ghani Othman membangunkan WPI tanpa memikirkan nasib penghuni Melayu.

Bukan sahaja orang Melayu terpinggir di WPI, malah ramai pemilih rumah di sini adalah warga asing.

Isu pemilikan tanah memang isue besar di Johor, kata Salahuddin.

Di Danga Bay pula, golongan peniaga Melayu yang dahulunya (sebelum dibangunkan) bebas berniaga dan menjaja secara kecil-kecilan kini tidak lagi dapat menimba rezeki biarpun kawasan sudah dibangunkan.

Boleh dikatakan Umno membela Melayu di Johor sebenarnya hanya indah khabar dari rupa, kaum Melayu bukan sahaja umpama melukut ditepi gantang.

Kaum Melayu di sini hidup tidak menentu, tanah rumah yang mereka diami bukan sah milik mereka. Lebih menyedihkan, kebanyakan tanah milik Melayu disini tiada pegangan tetap, kerana berstatus gadaian.

Isu peminggiran Melayu di Johor ini ada benarnya dengan melihat hujah Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Syed Ali Al Attas yang menyebut tentang kemiskinan Melayu di Johor.

Detik perubahan yang dibayangkan berlaku di Johor bisa menjadi realiti jika kelompok Melayu bandar dan pinggir bandar yang dinyatakan terkesan ini tekad melakukan perubahan.

Jika dahulu PAS sukar masuk ke beberapa taman perumahan Melayu khasnya di Taman SEDC dan sekitar Kempas, kini kaum Melayu dan khasnya ahli Umno mudah sahaja menerima kehadiran pimpinan PAS di sini.

Nampak lebih meyakinkan perubahan disokong dengan ‘mood’ pengundi Cina pada tahap maksima untuk melakar sejarah menumbangkan BN di sini amnya dan kerajaan persekutuan khasnya.

Lihat sahaja semasa krew Harakah mengikuti program Salahuddin dan Pakatan Rakyat Gelang Patah mengagihkan limau kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Universiti, Skudai, sambutan orang ramai amat membanggakan.

“Bagus sekali respons masyarakat Cina di sini dengan Salahuddin, dan dia nampak mesra, santai dan sama sekali tidak canggung,” kata Ahmad Lutfi, yang turut bersama mengiringi Salahuddin, untuk beberapa buah kedai. “Saya yakin dia tiada masalah dengan pengundi Cina, apatah lagi dibantu wajah kecinaannya,” tambah Lutfi.

Isu-isu penindasan ke atas rakyat, khasnya dalam Projek Pusat Penapisan Petroleum di Penggerang (RAPID) dan kes WPI membangkitkan lagi semangat rakyat untuk menukar kerajaan di Johor.

Dalam masa yang sama, khabarnya Umno Johor sedang berkecamuk akibat masalah antara kepimpinannya.

Kata Salahuddin, Ghani Othman sendiri dikatakan tidak sehaluan dengan beberapa tokoh lain khasnya mereka yang bergelar menteri di pusat.

Ada juga dakwaan menyatakan perpecahan berlaku antara kepimpinan di peringkat bahagian dan yang jelasnya pergerakan kerja pilihan raya dalam keadaan yang sangat sederhana akibat ketidaktentuan mengenai calon.

Isu ini turut menyumbang sedikit faktor yang membolehkan Pakatan Rakyat memiliki peluang bergelar kerajaan.

Semasa catatan ini ditulis (8 Februari), kami turut merancang untuk bertemu kepimpinan PAS Negeri yang diterajui Dr Mahfodz seusai mesyuarat Harian PAS Johor, di Simpang Renggam, pada 9 Februari bagi mendapatkan gambaran beliau mengenai gerakerja parti berdepan PRU13.

Kami turut merancang membuat tinjauan ke beberapa lokasi strategik pada 9 dan 10 Februari, antaranya Penggerang (bersama Mazlan Aliman), Bukit Gambir, Danga Bay, WPI dan projek CIQ (jambatan bengkok) yang menjadi bukti nyata bagaimana kepentingan orang Melayu dikhianati Umno-BN.

“Di negeri kelahiran Umno, nasib orang Melayu bukan saja tidak terbela tetapi telah dikhianati,” kata Salahuddin.

“Keadaan di Johor kini berbeda sama sekali,” kata Onn, yang berpengalaman luas dalam politik akar umbi, semasa kami makan Chicken Chop berdekatan hotel penginapan. “Ramai pimpinan Umno di peringkat cawangan yang bersedia memberi ruang buat Salahuddin.

Dahulu, saya masih ingat, masa berkempen, saya seolah-olah bercakap seorang diri.”
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB (DD)

Tiada ulasan: