Rabu, 20 Februari 2013

Sokong siapa sahaja calon yang dipilih pimpinan parti, kata Abdullah Ahmad Badawi

THE MALAYSIAN INSIDER

TASEK GELUGOR — Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta semua anggota Barisan Nasional (BN) supaya menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Siapa juga calon, tidak kiralah muda, tua atau ulama yang bertanding nanti perlu disokong kerana itu adalah calon boleh menang yang telah dipilih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan baucer buku 1Malaysia RM250 setiap seorang kepada 645 pelajar tingkatan enam dari sembilan sekolah di Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Sambil melahirkan keyakinan atas kebijaksanaan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak memilih calon boleh menang untuk bertanding, Abdullah berkata BN terutama Umno mempunyai calon berkaliber dan mampu menang pada PRU-13.

Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau yakin Perdana Menteri akan memilih calon yang boleh menang dan disenangi pengundi supaya BN boleh menang dua pertiga dalam PRU-13.

Sementara itu, Abdullah berkata gabungan calon muka baru dan lama untuk bertanding pada PRU-13 di Pulau Pinang adalah sesuatu yang baik kerana ia akan memberikan kelainan kepada pengundi.

Perdana Menteri yang akan buat keputusan (siapa yang akan jadi calon), tidak kisahlah muka baru atau lama tetapi saya percaya gabungan itu akan beri sesuatu kepada pengundi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman sebagai berkata kira-kira 50 peratus muka baru dijangka dicalonkan Umno Pulau Pinang dalam PRU-13 nanti. — Bernama

Tiada ulasan: