Jumaat, 8 Februari 2013

Shahidan perlu jawab FAM sebelum tengah hari esok

SINAR HARIAN

Datuk Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim melambaikan tangan sebelum beredar selepas mesyuarat agung tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini.- Foto Bernama
 
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai masa sehingga tengah hari esok untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung tiga pertuduhan terhadapnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang jawapan daripada Shahidan.

"Pihak jawatankuasa akan bersidang dan membincangkan kes tersebut sebaik sahaja sampai ke tarikh (akhir) tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 1 Februari lepas, FAM menghantar surat mengandungi tiga pertuduhan terhadap Shahidan mengikut Artikel 88 Statut FAM yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Shahidan berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Status FAM.

Untuk pertuduhan kedua, beliau berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan mempunyai niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM.

Bagi pertuduhan ketiga, Shahidan melalui artikel sama dituduh membuat kenyataan bercanggah, mempertikai, mempersoal atau fakta yang diberikan

tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014.

Bagi pertuduhan itu, beliau berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000.

Taufek berkata jika Shahidan tidak mengaku bersalah, beliau boleh mengemukakan sebab munasabah dan jika alasan yang diberi boleh diterima pakai, jawatankuasa itu akan pertimbangkan kes tersebut.

Susulan menerima surat pertuduhan itu, Shahidan mengumumkan untuk meletak jawatan dalam dua jawatankuasa kecil FAM iaitu sebagai Anggota Jawatankuasa Kewangan (AJK) FAM dan AJK Bola Sepak Wanita FAM. - Bernama

Tiada ulasan: