Selasa, 5 Februari 2013

Semakin ramai dekati PAS walaupun sering ditohmah

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Meskipun PAS sering ditohmah sebagai parti pemecah belah masyarakat, mempergunakan Islam, parti sesat dan sebagainya, PAS tetap komited menjalankan kerja-kerja dakwah sejak dahulu lagi.
“Buktinya semakin ramai yang mahu mendekati PAS termasuk kalangan tokoh-tokoh masyarakat, negawaran, sasterawan, cendikiawan, ahli-ahli korporat, selebriti, bekas pegawai tinggi kerajaan dan lain-lain,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Bahkan, katanya PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang keanggotaannya adalah dari kalangan bukan Islam.

Malangnya, kata beliau bagi golongan yang melontarkan tohmahan terhadap PAS tidak pula menjalankan kerja yang sama iaitu berdakwah kepada masyarakat supaya kenal Islam secara keseluruhannya.

Justeru, tambahnya dalam mendepani pilihanraya umum ke 13, DPPM menyeru supaya petugas PAS tidak melupakan tugasan penting iaitu sebagai juru dakwah kepada masyarakat.

“Dalam hal ini, saya mengajak semua lapisan rakyat mencontohi sikap keterbukaan dan pendakwah sejati yang ditonjolkan oleh Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melawat Pengerusi DAP, Karpal Singh serta Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis  beberapa minggu yang lepas,” katanya.

Jelasnya, lawatan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi mesej yang jelas bahawa PAS adalah parti yang mengajak kepada perpaduan disamping berdakwah kepada segenap masyarakat.

Beliau menambah, ruang berkempen adalah peluang keemasan buat petugas PAS bertemu dengan segenap masyarakat bagi menyampaikan risalah Islam.

Justeru, ujarnya DPPM yakin ramai lagi masyarakat yang tidak mengenali Islam dan PAS secara dekat dan betul kerana dipesongkan oleh  propaganda yang memburukkan PAS di mata mereka.

Katanya, petugas PAS harus menghulurkan salam, bertegur sapa, memberi risalah serta melemparkan senyuman kepada masyarakat.

“Mudah-mudahan dengan akhlak dan peribadi tinggi yang ditonjolkan ini akan dapat menarik mereka kepada PAS dan seterusnya menghayati Islam sepenuhnya seperti yang dihasratkan PAS selama ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: