Isnin, 25 Februari 2013

Rakyat sekarang ini bijak, boleh 'menyelam air dalam tunggak'

ASPAN ALIAS
Nampaknya politik semakin hari kian kotor. Rupa-rupanya kuasa ini boleh menjadikan seorang manusia itu hilang pertimbangan dan hilang segala keperibadian untuk mendapat atau mengekalkan kuasa. Barulah semua sedar termasuk diri saya ini, yang politik itu adalah kuasa dan kuasa itu adalah politik. Ramai manusia di dalamnya tidak berlandaskan kepada moral dan sedikit nilai ketuhanan yang merupakan ciri-ciri asas manusia yang mukmin.

Menjadikan komen TGNA sebagai mengatakan penerima BRIM itu adalah haiwan merupakan satu permainan politik yang tidak terkira hina dan aibnya. Ia sedang dilakukan oleh pimpinan UMNO dan penyokong-penyokong mereka seperti melalui saluran-saluran TV perdana. Pelakon-pelakonnya termasuklah seorang Perdana Menteri dan seorang lagi Timbalannya. Kedua-dua pemimpin ini yang datang dari keluarga yang baik-baik itu telah hilang segala ciri-ciri manusia yang sedang mencari kehidupan sebagai seorang mukmin. Mereka ini telah mencalarkan keperibadian baik keluarga mereka semata-mata kerana politik.

Semuanya ini adalah kerana kemahuan nafsu mereka untuk mengekalkan kuasa politik yang merupakan perkara yang terenak bagi mereka yang bermain poliik yang tidak berlandaskan kepada ciri-ciri keagamaannya. Najib terlupa yang beliau adalah seorang anak kepada sebuah keluarga yang baik dan Muhyiddin dengarnya adalah dari keluarga yang berimejkan agama yang kuat.

Tentunya tindakan kedua-dua pemimpin terbesar negara ini merupakan tindakan yang menjatuhkan nama ibu bapa mereka dengan memutar belitkan kata-kata orang lain dengan begitu hina dan aib sekali. Kedua-kedua pembesar negara ini tidak mahu mengambil kaedah memperbaiki diri untuk mendapatkan sokongan. Sebaliknya mereka memilih untuk melakukan perkara keji untuk mendapatkan kepentingan politik peribadi dan parti mereka yang kian hari kian menjunam imejnya di mata rakyat itu.

Benarlah kata-kata perbidalan, ‘yang baik itu untuk yang baik dan yang buruk itu untuk yang buruk’ sahaja. Benarlah apa yang dijanjikan oleh Najib yang beliau dan UMNO akan lakukan apa sahaja (at all cost) untuk mempertahankan Putrajaya. Tentulah ia termasuk melakukan kerja sebegini hina dan aib itu bagi menjamin Putrajaya itu dapat di pertahankan. Dengan janji-janji itu Najib bukannya bertindak untuk kebaikan rakyat dan negara beliau sebaliknya untuk kuasa semata-mata. Sesungguhnya sangat hebat pengaruh dan ajaran sesat politik Dr Mahathir ini, iaitu ‘lakukanlah apa sahaja asalkan berkuasa’…..tebalkan muka walaupun setebal tembok di tepi jalan.

TGNA jelas mengatakan pihak yang memberi BRIM itu seolah-olah hendak menjadikan manusia negara ini sebagai haiwan dengan memberikan makan dan selepas di beri makan manusia-manusia ini akan di sembelih seperti haiwan belaan. Itu maksud TGNA. Blog ini pun telah mengatakan perkara yang sama seminggu yang lalu yang menganggap UMNO mahu menjadikan kita semua sebagai haiwan belaan. TGNA tidak mengatakan mereka yang menerima BRIM itu sebagai haiwan.

Itu sebabnya rakyat sudah sedar yang mereka hendak dijadikan kita semua ini sebagai binatang belaan dan mereka menolak UMNO itu dengan hebat sekali sehinggakan UMNO hampir menjadi parti yang dipandang seperti haiwan kurap di tepi jalan sahaja. UMNO mahukan orang ramai seperti kerbau pembajak sawah yang luas dengan memberikan rumput-rumput dan rumbai sebagai makanan mereka (kerbau). Akhirnya hasil padi itu di masukkan kedalam kepuk padi bagi tikus-tikus gemuk memakannya dan kerbau itu disembelih untuk di jadikan rendang hari raya.

Kenyataaan maksud TGNA yang mengatakan UMNO cuba untuk menjadikan manusia sebagai haiwan dengan memberi BRIM itu di putar belitkan dengan mengatakan penerima BRIM itu adalah seperti haiwan. Kerja memutar-belitkan kata-kata Tok Guru itu dilakukan oleh Najib dan Muhyiddin sendiri.

Betul lah, dan benarlah Najib ini sebagai seorang yang menepati janji-janjinya. Janjinya untuk melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya itu benar-benar beliau lakukan walaupun dengan menjadikan rakyat seperti lembu dan haiwan belaan itu.

Najib dan Muhyiddin masih berfikir yang rakyat sekarang ini masih naïf dan tidak dapat membaca niat sebenar mereka dalam isu ini. Ketahui lah yang rakyat sudah pandai ‘menyelam air dalam tunggak’. Mereka (rakyat) tidak boleh diperbodohkan lagi…..

Aura UMNO itu sekarang sudah jatuh menjunam dan ia akan menjatuhkan penyokong-penyokong mereka sendiri….percayalah!

Tiada ulasan: