Jumaat, 1 Februari 2013

PRU13: Calon PAS selesai hampir 100%

KL TODAY
 

KUALA LUMPUR: PAS sudah hampir seratus peratus selesai meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau berkata, PAS lebih mementingkan kerusi Parlimen dan Dun boleh menang berbanding kuantiti kerusi yang ditandingi.

“Sehingga kini lebih 90 peratus (calon) kita sudah selesai. Yang masih tinggal hanya masalah yang terlalu kecil yang boleh diselesaikan walaupun pilihan raya diadakan bila-bila masa.



“Kawasan bertanding sebahagian besar sudah selesai cuma sedikit sahaja kerusi yang masih dalam perbincangan dan itu bukan masalah besar.


“PAS memikirkan seberapa banyak kerusi yang menang bukan seberapa banyak kerusi yang bertanding,” kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.


Ustaz Hadi juga berkata, kerusi yang akan ditandingi PAS juga bertambah setelah berjaya di beberapa buah negeri.


“Insya Allah kerusi kita akan bertambah dan kita akan usahakan. Pilihan raya yang lalu kita tumpu kepada negeri-negeri dan PAS telah berjaya memimpin tiga buah negeri dari lima negeri yang menang iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.


“Kita mendapat 82 kerusi Dun, DAP dapat 70, PKR 40 dalam keadaan kita agak kecil jumlah di Parlimen kerana lebih tumpu kepada Dun masa itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.


Justeru katanya, berdasarkan pencapaian PAS di beberapa buah negeri sebelum ini, PAS sudah bersedia mengambil alih pemerintahan daripada BN.



“Kita telah berjaya mencapai (kejayaan) di tiap-tiap negeri ada wakil rakyat sekurang-kurangnya di Dun kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak.


“Ini menunjukkan pengaruh kita sudah masuk ke setiap negeri termasuk Johor yang dianggap kubu Umno.


“Kewujudan wakil rakyat kita di negeri ini mengembangkan lagi pengaruh PAS di samping negeri-negeri yang belum mendapat tapak,” katanya.


Tambahnya, PAS sudah mula bertapak di Sabah dan Sarawak dan akan meletakkan kerusi di kedua-dua negeri tersebut.

Tiada ulasan: