Jumaat, 22 Februari 2013

Pembubaran Parlimen: Hari ini atau bila pun apa bezanya?

ASPAN ALIAS
Hari ini telah dispekulasikan sebagai hari pembubaran Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Ramai telah menghubungi saya samada berita itu benar atau tidak. Jawapan saya standard, “saya tidak tahu, tanya Najib atau Rosmah” Siapa kita untuk mengetahui perkara penting itu. Terpenting bagi kita ialah dengan memberikan perimbangan serta berfikir sejenak sebelum memangkah semasa dalam bilik mengundi itu nanti.

Bagi saya samada pembubaran itu dilakukan pada hari ini tidak penting. Yang penting kita sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk negara kita. Kita jangan tertipu dengan dakyah karut yang kita ikuti selama ini. Di negara ini kita boleh mengundi sesiapa sahaja dan tidak seperti apa yang di dakyahkan yang negara kita ini hanya selamat jika UMNO memerintah. Sememangnya pimpinan UMNO sedang mendagu dan merayu supaya diberikan peluang sepenggal lagi seperti yang di minta oleh Najib di Kuching semalam.

Najib merayu untuk BN di berikan sepenggal lagi seolah BN telah memerintah hanya sepenggal yang lalu. Beliau terus merayu agar diberikan sepenggal lagi walaupun telah di beri peluang sejak merdeka dahulu memerintah negara ini. Sepatutnya yang merayu untuk meminta sepenggal itu adalah pihak pembangkang bukannya pihak kerajaan. Tetapi tidak mengapalah, kerana rakyat ramai yang membuat keputusan samada untuk memberikan BN sepenggal lagi walaupun telah berpenggal-penggal mentadbir kita.

Sebenarnya Najib masih belum berkeyakinan untuk membubarkan Parlimen, tetapi oleh kerana penggal Parlimen sudah sampai ke penghujung nya maka beliau akan terpaksa membubarkannya juga atau di biarkan sahaja penggal ini terbubar dengan sendirinya pada 28hb April nanti. Itu tidak ada apa-apa salahnya jika Najib memilih untuk berbuat demikian.

Tidak ada sebab untuk Najib tergesa-gesa untuk membubarkan Parlimen itu sedangkan jika beliau membubarkan Parlimen pada hari ini Najib tetap mencatat rekod seorang Perdana Menteri yang tidak di pilih oleh rakyat. Persepsi itu tidak dapat di hilangkan jika Najib membubarkan Parlimen hari ini atau besok. Sudah alang-alang tunggu sahaja sampai penghujung bulan April nanti.

Tindakan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak juga menjadi kesalahan kerana sebagai sebuah negara Persekutuan, Dewan Legislatif Negeri itu adalah hak negeri untuk menentukan tarikh pilihanraya bagi kawasan-kawasan Undangan Negeri nya. Jangan kita persoalkan tindakan itu kerana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Selangor dan Persekutuan kita. UMNO tidak payah sibuk dengan urusan kerajaan Negeri Selangor kerana UMNO sudah di tolak oleh rakyat Selangor.

Kerja dan tugas UMNO yang penting sekali sekarang ialah untuk menentukan yang mereka melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang negara. UMNO sendiri mempunyai masalah besar. Biarkan PAS, DAP serta PKR dengan urusan mereka kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk mempastikan perancangan untuk melakukan perbezaan dengan BN jika mereka di beri peluang untuk mentadbir Putrajaya selepas PRU  ini.

Tidak salah untuk UMNO bertahan, tetapi untuk bertahan UMNO sendiri tidak berkeyakinan. Ramai di antara pemimpin mereka menzahirkan perasaan mereka kepada saya sehari dua ini. UMNO mempunyai banyak ‘factions’ dan mempunyai ‘warlords’ mereka termasuk Dr Mahathir sendiri. UMNO sedang menghadapi tekanan dari rakyat dan dalam pada menguruskan tekanan rakyat itu, parti itu sendiri wujud tekan menekan sesama sendiri.

Puak Dr Mahathir memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan jika boleh mereka mahukan Najib berhenti untuk memberikan Muhyiddin peluang menerajui PRU ke13 ini. Serba salah puak Mahathir ini nampaknya. Begitu juga puak Muhyiddin. Kalau hendak berkeras untuk menekan Najib, pilihanraya sudah hampir dan akan menjejaskan keputusannya nanti. Tidak berkeras pun tidak boleh kerana UMNO sedang dalam keadaan telur di hujung tanduk.

Satu isu yang terbesar akan mereka (UMNO) hadapi ialah masalah calon pilihanraya untuk UMNO dan BN. Jika Najib biarkan Muhyiddin menentukan calon UMNO ia serupa lah memberikan parang tajam kepada Muhyiddin untuk Timbalannya itu gunakan untuk memenggal politik Najib seperti yang di kehendaki oleh Mahathir. Setakat yang saya tahu sudah berbelas Ketua Bahagian yang dulunya adalah pengikut totok Najib dengan senyap-senyap telah berpihak kepada Muhyiddin.

Tidak tahu lah kita samada Najib maklum tentang perkara ini tetapi yang pastinya mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib. Mereka ingin bergantung kepada dahan yang baru tetapi tidak tahulah kita samada mereka terasa bahawa dahan yang baru ini pun akan tumbang bersama pokok besarnya (UMNO) dalam pilihanraya nanti. Bagi UMNO, parti ini sudah sampai ke persimpangan.

UMNO tidak mempunyai jalan selain dari mengakui kesulitan mereka dalam pilihanraya kali ini. Itu pun tidak mengapa kerana dalam demokrasi sememangnya UMNO boleh di jatuhkan seperti yang di alami oleh mana-mana parti di dalam mana-mana negara demokrasi. Tetapi UMNO tidak rela menghadapi kekalahan kerana masing-masing ‘warlords’ dalam UMNO itu mempuyai rekod buruk masing-masing yang mereka takutkan jika parti itu tidak berkuasa lagi.

Mahathir tersangat takut jika Pakatan Rakyat menang dan Anwar menjadi Perdana Menteri. Mahathir bukan sedikit masalah yang beliau lakukan terhadap diri beliau sendiri semasa memegang kuasa dahulu. Itulah yang menyebabkan beliau bermatian menegakkan benang basah UMNO hari ini. Najib pun begitu. Beliau takut jika Pakatan menang dan terpaksa menghadapi Anwar jika Pakatan menang.

Jika UMNO menang dengan tipis sekali pun, Najib terpaksa menghadapi hari akhir kepimpinan beliau dan ini juga menakutkan beliau sendiri. Apa kah Muhyiddin mampu untuk tidak mengambil tindakan terhadap Najib jika beliau mengambil alih kuasa? Najib tahu dalam UMNO tiada siapa yang mempunyai ‘allegiance’ terhadap pemimpin yang mereka sokong sebelumnya. Najib akan menangis kesaorangan. Itu sudah banyak berlaku dalam UMNO kerana setiap pemimpin dalam UMNO itu adalah pimpinan yang lemah dan mereka hanya di ikuti oleh mereka yang berkepentingan peribadi. Semua mereka itu akan mengikut dan bersama-sama mengutuk pimpinan yang telah pergi yang pernah mereka dukung dahulu.

UMNO sudah tidak ada lagi pemimpin yang ‘magnanimous’ seperti dahulu. Dendam mendendam sudah menjadi amalan mereka. Kata perpatah Melayu, ‘mati ayam mati tungau’ Berhenti sahaja Najib maka Najib akan terpaksa menghadapi zaman gelap beliau sampai akhir hayat.

Najib sekarang memang tidak boleh bertahan lagi. Hanya jika beliau ada sedikit kemampuan untuk berfikir sahaja boleh menyelamatkan beliau dari menghadapi zaman gelap beliau nanti. Hakikatnya Najib akan lebih selamat jika pembangkang mendapat mandat dari orang lain dalam UMNO itu mengambil alih kepimpinan beliau.

Najib tahu Mahathir tidak akan membela beliau dan Muhyiddin jauh sekali untuk melakukannya. Apa tah lagi jika UMNO yang sekarang mempunyai kecenderungan untuk tewas dalam pilihanraya kali ini bersama parti komponennya MCA dan MIC yang sudah pasti akan tewas kali ini.

Tiada ulasan: