Khamis, 7 Februari 2013

PAS akan sokong Deepak pohon dilindungi sebagai saksi

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- PAS akan menyokong surat permohonan Ahli Perniagaan, Deepak Jaikishan untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi bagi membolehkannya membuat beberapa pendedahan penting.

Deepak akan menulis surat kepada Peguam Negara (AG) memohon perlindungan saksi (imuniti) bagi membolehkan beliau membuat pendedahan berhubung penyelewengan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri.

Beliau hari ini berjaya mendapatkan sokongan daripada PAS dan peguamnya bagi tujuan itu selepas pertemuan kira-kira satu jam di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Pertemuan dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Penolong Setiausaha, Dr Syed Azman Syed Nawawi, ahli jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Asmuni Awi yang juga peguam.

"Kami telah meneliti segala dokumen yang Deepak ada. Berdasarkan dokumen-dokumen itu, kami bersetuju untuk memberikan sokongan kepada permohonan Deepak untuk mendapatkan imuniti bagi mendedahkan segala dokumen ini," kata Mahfuz Omar dalam sidang media hari ini.

Deepak dalam sidang medianya berkata, beliau sangat memerlukan imuniti itu untuk membolehkan dia mendedahkan segala dokumen yang beliau ada.

"Penglibatan saya dengan pasangan Perdana Menteri sangat mendalam dan melibatkan 'top secret'.

"Saya minta bantuan PAS dan Pakatan Rakyat kerana saya yakin kerajaan BN tidak akan memberi perlindungan kepada saya selepas saya dedahkan semua penyelewengan itu," kata beliau pada sidang media sejurus selepas pertemuan.

Peguam PAS, Asmuni Awi pula berkata, beliau juga akan menulis surat kepada AG bagi menyokong permohonan imuniti tersebut.

Menurutnya, Deepak berhak mendapatkan imuniti bagi membuat pendedahan kerana berdasarkan kenyataannya, beliau bekerjasama dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana terpaksa.

"Imuniti itu sudah terkandung dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat di bawah Seksyen 2 (b) di mana Deepak dikira layak mendapatkan perlindungan kerana Deepak bagitahu dia lakukan semua tugas atas arahan, bukan sukarela.

"Saya pun akan tulis surat kepada AG selepas Deepak berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Deepak memberitahu, beliau juga akan mengadakan sidang media di Singapura dan Dubai selain mengadakan siri jelajah untuk membuat pendedahan.

"Saya pilih Dubai Dan Singapura kerana media arus perdana di Malaysia tidak mahu melaporkan pendedahan ini," katanya.-harakahdaily

Tiada ulasan: