Khamis, 7 Februari 2013

Nasharudin sudah terima surat dilucut anggota Majlis Syura

SINAR HARIAN

 Nasharudin Mat Isa
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
 
KUALA LUMPUR - Surat rasmi pemecatan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa, sebagai anggota Majlis Syura akhirnya sampai ke tangan beliau semalam selepas dipecat kira-kira dua minggu lepas.

Beliau berkata, bagaimanapun timbul sedikit tanda tanya apabila surat berdaftar itu bertarikh 14 Januari tetapi hanya diposkan pada 30 Januari seperti yang tertera pada sampulnya.

"Sah secara hitam putih saya bukan anggota Majlis Syura Ulama Pas Pusat lagi. Hari ini baru sampai (surat tersebut)," katanya dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan di TV3 malam tadi.

Rancangan itu dikendalikan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima ,Datuk Ahmad Talib.

Bekas timbalan presiden Pas itu berkata, surat tersebut antara lain menyebut pemecatannya diputuskan pada mesyuarat Majlis Syura yang berlangsung pada13 Januari lepas kerana melanggar beberapa ketetapan yang dibuat majlis berkenaan.

"Saya tak tahu apa yang saya langgar, mungkin sebab saya buat beberapa kenyataan media secara terbuka dan pendirian saya dalam isu-isu terkini berbeza dengan pendirian parti," katanya.

Ditanya sama ada beliau masih merupakan anggota Pas, Nasharudin berkata, wujud sedikit konflik mengenai perkata itu berdasarkan kenyataan berbeza oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Mursyidul Am kata dengan pemecatan daripada Majlis Syura Ulama, saya automatik dipecat sebagai ahli tetapi presiden kata saya masih ahli. Ini pun saya tahu daripada media kerana tiada kenyataan rasmi daripada parti. Tapi kalau ada surat pemecatan sebagai ahli Pas, saya tunggu. Mungkin tiga minggu lagi baru sampai," jelasnya.

Sementara itu, Nasharudin menjelaskan bahawa sehingga hari ini beliau tidak pernah menerima sebarang jemputan untuk menyertai Umno meskipun telah dua kali bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan ke Makkah dan Gaza.

"Perdana Menteri tidak pernah ajak saya... tiada langsung keluar daripada mulut Perdana Menteri untuk ajak saya masuk Umno," tegasnya. - Bernama

1 ulasan:

anak jawa johor berkata...

Assalam Ust Nasa mengaku bekas pensyarah universiti. Perkara tersurat dan tersirat dalam surat perlucutan tersebut pun perlukan orang ramai menerangkan kepada beliau. Ini pensyarah tercerdik atau pensyarah kangkung yang memerlukan orang kurang cerdik macam kita nak beritahu. Kalau bangang tu janganlah tunjuk kebangangan anda kepada orang ramai. Malu Melayu yang menyatakan mempunyai keintelekan Islam ni.