Aspan Alias, |
Persoalannya, bagaimana sebuah negara yang telah merdeka selama 56 tahun masih berjuta-juta rakyat yang susah dan terpaksa memberikan bantuan RM500 bila pilihanraya tiba? Kalau lah keadaan sebegini, bagaimana pimpinan kerajaan kita begitu bangga mengaku yang negara kita sudah menghampiri ketahap negara maju? Bagaimana kah wang sejumput itu boleh menukar taraf hidup rakyat keseluruhannya? Inikah dia Program Transformasi Ekonomi Najib dan UMNO? Sampai bila budaya ini akan dilakukan oleh kerajaan dan apakah benar bantuan ini boleh menaikkan pendapatan per kapita rakyat seperti yang di gembar-gemburkan oleh Najib dan UMNO nya?
Itu sebabnya rakyat lebih berkeyakinan cara yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika mandat itu adalah cara yang lebih baik, malahan jauh lebih berfaedah dari apa yang di amalkan oleh UMNO dan BN ini. Kalau ditanyakan apakah pandangan pihak pimpinan UMNO tentang bajet ‘alternative’, PR itu mereka sudah tentu akan menghinanya kerana mereka tidak mahu PR memerintah dan melaksanakan apa yang dihajati oleh pihak Pakatan Rakyat itu.
Saya tidak mahu menyentuh tentang semua yang bakal dilakukan oleh Pakatan Rakyat setelah diizinkan Tuhan untuk membentuk kerajaan nanti kerana masa dan ruang terlalu suntuk untuk dimuatkan ke dalam blog ini. Tetapi biarlah saya sentuh dengan ayat dan bahasa yang mudah bagi memudahkan rakyat yang membaca blog ini untuk memahaminya. Pihak UMNO yang bakal menjadi pembangkang ini akan membidas apa yang saya perkatakan ini. Mereka akan memulakan kritikannya terhadap apa yang saya perkatakan ini sebagai tindakan yang akan mengbankrapkan negara dan sebagainya.
Menghapuskan tol lebuhraya yang telah lama seperti lebuhraya Utara Selatan itu sememangnya satu niat yang baik dan boleh terlaksana jika Pakatan ingin melakukannya setelah mendapat mandat rakyat nanti. Lebuhraya yang berharga RM6 billion itu telah mengutip hampir RM30 billion dan tidak ada sebab untuk pihak yang mendapat konsesi itu tidak boleh menurunkan harga tol atau pihak kerajaan memansuhkan kutipan tol itu sama sekali.
Jika janji yang satu ini sahaja terlaksana sudah cukup untuk memberikan keringanan kepada rakyat, malahan lebih jauh berfaedah dari rakyat beratur di tengah panas terik menerima baucer RM500 yang tidak tentu berapa kali kita akan menerimanya. Jika kutipan tol ini dihapuskan satu perjalanan dari Johor ke Perlis sahaja sudah menghampiri 50 peratus dari wang BRIM yang Najib dan UMNO bahagi-bahagikan itu. Jika Pakatan Rakyat memerintah tidak payah berikan wang BRIM ini kerana adalah lebih baik memberikan laluan perjalanan secara percuma kerana perjalanan kita ke utara ke selatan dan balik itu lebih kerap dan faedah secara terus terhadap rakyat itu adalah lebih praktikal untuk kesenangan mereka.
Jika dihapuskan PTPTN pula ia akan lebih memberikan faedah kepada semua keluarga kerana setiap keluarga mesti berbelanja untuk anak-anak mereka belajar sampai ke tahap menara gading. Pengapusan PTPTN ini merupakan satu perkara yang amat menyentuh jiwa dan perasaan semua rakyat kerana keseluruhan rakyat kita menghadapi masalah pembiayaan pelajaran untuk anak-anak mereka. Apa yang susah sangat hendak menghapuskan PTPTN ini seolah-olah PTPTN ini sudah wujud sejak merdeka. PTPTN ini hanya wujud di zaman Dr Mahathir sahaja kerana dalam pentadbiran beliau wang ringgit kerajaan di gunakan untuk membina ‘empire’ perniagaan kroni dan suku-sakat mereka sahaja. Selain dari itu wang rakyat yang ‘bertrillion’ telah digunakan untuk melaksanan projek yang tidak mendatangkan hasil kepada rakyat.
Sebelum pemerintahan Dr Mahathir tidak ada pun PTPTN dan semua anak-anak yang pergi belajar ke peringkat universiti semuanya di biayai oleh biasiswa yang puncanya datang dari berbagai pihak. Sehingga pengakhir tujuh puluhan, mahasiswa masih berbincang sesama sendiri bertanyakan biasiswa mana mereka dapat untuk masuk universiti. “You scholarship mana?” itu merupakan soalan popular di antara mahasiswa semasa itu. Jawapannya banyak. Ada yang kata mereka mendapat ‘state scholarship’, ada yang menjawab ‘Bank Bumi Scholarship’ atau ‘federal scholarship’ dan berbagai-bagai lagi.
Semasa itu pendapatan negara tidaklah sebesar mana pun tetapi rakyat mendapat biasiswa dengan mudah. Tetapi di samping menjerit dan mengaku negara kita sebuah negara yang sudah hampir ke tahap negara maju, rakyat tidak dapat lagi biasiswa dan disebaliknya rakyat diberikan pinjaman PTPTN yang akhirnya telah menjerumuskan rakyat yang masih muda terbeban dengan hutang yang bertimbun. Belum pun mendapat pekerjaan hutang sudah menanti dan surat saman pun mula datang berulang kali.
Kita telah mendengar cemuhan dari pihak UMNO dan pimpinannya terhadap cadangan Pakatan Rakyat ini. Berbagai-bagai macam jawapan dikeluarkan untuk meremehkan niat Pakatan Rakyat itu dengan mengungut rakyat yang negara akan menjadi muflis jika Pakatan melaksanakan niat mereka ini. Pimpinan BN selalu meletakkan kemampuan orang lain sama rendahnya dengan tahap kemampuan pihak lain. Mereka menganggap cita-cita Pakatan Rakyat itu tidak praktikal kerana mereka menyamakan kemampuan orang lain dengan kemampuan yang terbatas di kalangan mereka.
Sebenarnya BN bukan tidak mampu melakukan apa yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat itu, tetapi oleh kerana di dalam BN itu ada elemen rasuah dan ketidak jujuran maka ia tidak mungkin dapat dilaksanakan. Untuk melaksanakan usaha dan niat Pakatan Rakyat itu ia memerlukan usaha gigih tanpa mempunyai unsur rasuah. Jika pemimpin mengamalkan budaya rasuah sesiapa pun yang memimpin itu tidak akan berdaya untuk membuat keputusan yang baik kerana ada kepentingan peribadi.
Di kesebelasan negara Scandinavia dan beberapa negara di Eropah, pelajaran adalah percuma sedangkan negara-negara itu bukannya negara kaya yang dilimpahi dengan penghasilan minyak dan sebagainya. Tetapi oleh kerana kerajaan mereka merupakan kerajaan yang bersih dan tidak berbelanja wang rakyat seperti wang datuk atau nenek mereka, maka dapatlah mereka memberikan pelajaran dan pendidikan percuma sehingga ke peringkat yang tinggi.
Tetapi di Malaysia ini rakyat sebaliknya terpaksa berkorban kerana kerenah dan sikap pembaziran pemimpin serta keluarga mereka menggunakan kesempatan untuk memberikan tumpuan bagi kepentingan kroni dan keluarga mereka. Maka pemimpin-pemimpin tidak akan memberikan tumpuan untuk memberikan hak rakyat itu. Untuk memberikan hak rakyat itu ia memerlukan pimpinan yang serius serta kerajaan yang peka terhadap keperluan rakyat itu dengan pelan pembangunan untuk mereka (rakyat) yang berkesan.
Kita perlu mengenepikan pemimpin-pemimpin yang terlalu joli dengan wang rakyat tanpa rasa bersalah itu dan kebetulannya pemimpin jenis ini semuanya dari UMNO dan MCA. Budaya bersukaria menggunakan kemudahan dan wang rakyat ini sudah di budayakan dan adalah menjadi dosa yang begitu besar jika rakyat membiarkan perkara ini berterusan berlaku. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan