Jumaat, 8 Februari 2013

Najib beri isyarat PRU semakin hampir, jentera Umno sudah bersedia


Najib berkata beliau berpuas hati dengan jentera pilihan raya Barisan Nasional. – Gambar fail
 
KUALA LUMPUR—Jentera parti Umno sudah bersedia menghadapi pilihan raya, menunjukkan kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pilihan raya tidak lama lagi. 
 
Najib berkata beliau berpuas hati dengan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), dan akan terus berusaha bagi mendapat sokongan pengundi.

“Kita telah menerima laporan audit hingga peringkat bahagian mengikut tinjauan dari laporan itu, kita puas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang memuaskan.

“Di samping itu kita harap usaha-usaha memantapkan lagi kesiapsiagaan PRU, akan diteruskan lagi oleh pimpinan setiap bahagian,” kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis tertinggi Umno di ibu pejabat parti hari ini.

Najib juga bersetuju seorang wakil Jawatankuasa Dispilin akan dilantik di bahagian-bahagian Umno sebagai usaha untuk mengelakkan tindakan khianat dansabotaj dari dalam.

Katanya, wakil yang terpilih pada tahun ini akan ditapis daripada kalangan tujuh perwakilan bahagian yang datang ke Perhimpunan Agung parti baru-baru ini.

“Nama-nama mereka akan diumumkan di bahagian dan setiap yang berlaku di bahagian masing-masing akan ada wakil yang boleh pantau keadaan,” katanya.

Katanya, nama-nama wakil ini sedang diproses oleh Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen.

Menurut Najib lagi, tugas wakil Jawatankuasa Disiplin itu juga adalah untuk membuat laporan ke pusat terhadap sebarang tindakan sabotaj supaya satu tindakan awal boleh diambil.

Pilihan Raya 2013 perlu diadakan selepas mandat kerajaan BN tamat pada penghujung April.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) menjadi rebutan dalam pilihan raya yang dianggap paling sengit dalam sejarah.

Setakat ini, hanya negeri Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Tiada ulasan: