Sabtu, 16 Februari 2013

Muhyiddin: Sekolah kurang murid tidak ditutup

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
ALOR SETAR - Kerajaan tidak akan menutup sekolah kurang murid, sebaliknya akan memberikan perhatian untuk meningkatkan lagi kualiti sekolah seperti itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata isu menutup sekolah kurang murid sama ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina serta Tamil tidak timbul dan terpulang kepada ibu bapa jika mereka mahu memindahkan anak-anak mereka daripada sekolah kurang murid ke sekolah lain.

" Kita tidak akan ambil tindakan apa-apa dan biarkan ibu bapa yang tentukan. Masalah berbangkit sekolah-sekolah seperti ini mutu pembelajaran tidak setanding.

" Kebanyakan sekolah ini (kurang murid) tak berapa ok. Guru tak cukup, jumlah pelajar kecil.
Kadang-kadang pelajar 10 guru pun 10. Tak ada pelajar mencukupi. Kadang-kadang guru kena ajar dua, tiga subjek untuk menampung subjek-subjek di sekolah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata terdapat lebih 2,000 sekolah yang dikategorikan sekolah kurang murid di seluruh negara, yang bilangan pelajar kurang daripada 50 orang. - Bernama

Tiada ulasan: