Selasa, 12 Februari 2013

Majlis Syura tidak bincang isu PM, dakwaan mengarut

Rizal Tahir,

(TG Nik Aziz menggaul Yee Sang bersama tokoh perniagaan Cina Kelantan)

KOTA BHARU: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan berita yang mendakwa PAS berbincang untuk menolak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebagai mengarut.

Menurut Tuan Guru, beliau selaku Pengerusi Majlis Syura Ulama PAS langsung tidak berbincang berhubung perkara itu, malah tidak tahu menahu mengenainya.

“Saya sendiri pengerusinya, tentu saya tahu kalau berbincang, mengarut semua ni,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas dakwaan yang mengatakan Majlis Syura Ulama PAS berbincang untuk menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang pada PRU-13 nanti.

Beliau berkata ketika ditemui di kediaman  tokoh perniagaan Cina Kelantan Kenny Chua sempena kunjungan Tuan Guru ke rumah-rumah mereka di hari Tahun Baru Cina, di Taman Limau Manis, di sini pagi semalam.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini melaporkan yang sebagai memetik sumber dalaman PAS kononnya Majlis Syura turut berbincang keputusan itu.

Kali terakhir Majlis Syura bermesyuarat adalah 13 Januari lepas dengan dipengerusikan sendiri oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Antara yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah menggugurkan keahlian Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya.

Baru-baru ini dilaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din. Kononnya dalam pertemuan itu Haron memaklumkan Majlis Syura menolak Anwar sebagai bakal PM.

Dengan penjelasan ini bermakna perkara itu hanya mainan media Umno untuk memecahkan hubungan baik dalam Pakatan bagi memberikan peluang kepada BN semula untuk terus memerintah negara.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pernah mencadangkan agar isu bakal PM hanya akan ditentukan selepas penamaan calon.

Semalam, Tuan Guru Nik Aziz mengunjungi empat pemimpin masyarakat Cina di Kota Bharu sebagai rutin tahunannya bila tiba perayaan itu.

Antara kediaman yang beliau kunjungi Pengerusi Eksekutif SBJ Sdn Bhd, Datuk Tan Liang Chong dan Kenny Chua.

Sempena perayaan Tahun Baru Cina, Tuan Guru turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina sama ada di Kelantan atau di seluruh negara dan dunia.

Menurutnya, semoga Allah menyelamatkan kehidupan umat di dunia ini.

Katanya, Islam agama perpaduan, agama menyatu ummah pelbagai bangsa di dunia.

Tiada ulasan: