Sabtu, 23 Februari 2013

Kepala mayat reput ditutup patung beruang

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Misteri bau busuk dari sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama di sini terjawab semalam selepas penemuan satu mayat reput yang kepalanya ditutup dengan patung beruang.

Mayat yang masih tidak diketahui jantina itu dibalut dengan plastik dan diikat dengan kain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, polis dimaklumkan berhubung kejadian tersebut, kira-kira jam 11 pagi.

“Mayat sudah mereput. Ia ditemui dalam keadaan mengiring di tepi mangkuk tandas.

“Kita percaya mangsa mati empat hari lalu dan kediaman di tingkat 23 itu pula berkunci dari luar,” katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.

Beliau berkata, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri dan pihaknya akan meneliti laporan kes kehilangan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, polis juga tidak menemui senjata pembunuhan yang digunakan dan masih menyiasat kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain.

Menurutnya, polis akan mengambil keterangan beberapa penghuni premis dan meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

Khairi berkata, siasatan awal mendapati kediaman berada dalam keadaan berselerak itu dijadikan makmal mini memproses dadah.

“Kita menemui serbuk dan pil dipercayai dadah selain dokumen berkaitan urus niaga dadah di ruang dapur,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Tiada ulasan: