Rabu, 6 Februari 2013

Hadiah Najib kepada Syabas: Jangan ingat rakyat Selangor bodoh!




Oleh DR DZULKEFLY AHMAD

1.       Tindakan PM Najib ‘menghadiahkan’ Syabas pinjaman RM120 juta tidak dapat ditanggapi umum kecuali ssebagai satu usaha menyelamatkan syarikat tersebut. Syabas, pemegang konsesi edaran air dan Puncak Niaga, pemegang konsesi rawatan air di Selangor, adalah sebagai milik majoriti Tan Sri Rozali Ismail. Tuduhan ‘bailout’ atau ‘tindakan menyelamat’ sebuah syarikat kroni adalah wajar dan tidak kerlaluan bahkan amat menasabah, mentelahan Tan Sri Rozali adalah juga mantan bendahari Umno Selangor.

2.       'Keberanian' Najib memberi pinjaman kepada Syabas adalah sangat mengejutkan ramai. Najib mungkin berpandangan bahawa rakyat tak faham selok-belok dan sebab-musabab isu krisis air Selangor. Kejahilannya tentang tahap pengetahuan dan pencerahan minda rakyat masakini menggalakkan Najib cuba membohongi rakyat sekali lagi bahawa pinjaman untuk Syabas adalah kerana kegagalan tadbir-urus kerajaan negeri. Sangat dangkal bahkan bangsat sekali alasan Najib ini.

3.       Untuk ingatan Najib, rakyat tahu bahawa kerajaannya memberi pinjaman mudah (softloan) kepada Syabas pada Disember 2009, sebanyak RM320 juta berbentuk pinjaman tanpa faedah (interest-free), tanpa cagaran (non-collatarised) dan boleh dibayar 20 tahun kemdudian (back-loaded). Pernahkah mana-mana pihak mendapat pemberian hadiah seperti itu termasuk peminjam golongan dhaif seperti dalam program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

4.       Mungkin Najib juga lupa bahawa rakyat sekali lagi tahu bahawa kerajaan telah memberi satu lagi pinjaman bayaran balik 20 tahun sebanyak RM110 juta pada Oktober 2011. Senang-senang sahaja.

5.       Seoalah-olah rakyat buta dan tuli, Najib pada bulan berikutnya yakni November 2011, telah membayar pinjaman bon Syabas yang telah matang (facing payment) sebanyak RM2.9 bilion. Nah itu sahaja telah menelan sebanyak ‘bailout’ RM3.41 bilion, dengan tidak mengambil pelbagai pemberian geran dan pinjaman terdahulunya sejak penswastaan.

6.       Mengapakah Najib-Umno terus-terusan melakukan tadbir-urus yang jelek dan buruk seumpama ini? Mengapakah Najib sanggup ‘berkorban’ habis-habisan seperti ini untuk Tan Sri Rozali? Najib wajar insaf bahawa soalan ini bukan lagi menjadi tanda-tanya rakyat untuk beliau. Najib tidak perlu lagi berselindung dengan jawapan yang terus mengaibkan dan menghilangkan saki-baki kepercayaan yang masih ada untuknya.

7.       Najib tidak perlu diingat bahawa Laporan Ketua Audit Negara telah secara tajam dan kritis mengingatkan tadbir-urus korporat Syabas yang sangat dipertikaikan termasuk membuat iklan,  pembelian asset-aset yang tidak punya hubungkait dengan urusan mengurangkan air-tak berfaedah atau Non-Revenue Water (NRW).

8.       Segala dakwaan tentang kelemahan kerajaan negeri dan halangan-halangan yang kononnya dicetuskan oleh kerajaan negeri adalah meleset kalau persoalan NRW yang merupakan tugas besar Syabas untuk turun (capai sasaran KPI yakni 20% (2011) berbanding tahap kini kekal pada 32%) tidak dicapai dan tertunai. Syabas, mengikut perjanjian mesti berbelanja kapital (Capex) untuk tambahbaik paip dan sebaginya bagi tujuan tersebut bagi menurukan NRW.

9.       Amaran pihak kerajaan negeri untuk mengambil alih Syabas dalam 14 hari bukan sahaja terdapat dalam peruntukan perjanjian konsesi penswastaan, bahkan ditanggapi beberapa pihak sebagai sangat wajar dan menasabah. Kegagalan Syabas dalam membekalkan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah dan Putrajaya sudah tidak dapat lagi dijamin khasnya di ambang pilihanraya. Kekhuatiran berdepan dengan krisis akibat sabotaj seperti yang berlaku baru-baru ini akibat faktor penyelenggaran pam adalah sangat  serius.

10.   Pelbagai pihak termasuk beberapa operator konsesi loji rawatan air bahawa pengambilan  Syabas oleh kerajaan negeri adalah baik bagi mereka. Sebabnya mudah. Syabas adalah ‘bad paymaster’ dan puratanya hanya membayar 40% - 45% menyebabkan mereka tidak berminat untuk mengeluarkan lebih dari kapasiti biasa. Penulis mendapat faham bahawa kapasiti loji rawatan air ini, seandainya diperlukan, masih punya ‘reserve capacity’ untuk dipertingkatkan bekalan air terawat, sekaligus mampu menghindarkan krisis kekurangan air.

11.   Dalam suasana bayaran Syabas pada tahap ini, mereka tidak berminat untuk mempertingkatkan kapasiti kerana akan mencetuskan masalah ‘aliran-tunai’ atau ‘Cashflow’ yang lebih parah. Pengambilan oleh kerajaan negeri akan merubah imej status ’bad-paymaster’ kepada ‘good-paymaster’.

12.   Pengambilalihan Syabas oleh kerajaan negeri juga akan dapat menangani dakwaan amalan kronisme dan nepotisme yang lazim diamalkan oleh pihak Syabas terhadap kontraktor-kontraktornya yang membekalkan paip, bahan kimai, barang-barang elektrik, pam dsbnya. Ramai yang ingin bertanya apakah kaitan Tan Sri Rozali dalam syarikat seperti Mewah Kota SB,Damini SB, Semarak Niaga SB dan beberapa syarikat lain.

13.   Di samping pemberian kerja penyelenggaraan dan perolehan kepada vendor-vendor  akan menjadi lebih adil dan saksama, tindakan kerajaan negeri utuk mengambil alih Syabas akan menyuntik tahap kayakinan rakyat kepada Syabas.

14.   Sudah sampai waktunya, Najib dan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, mengakui bahawa pengurusan air di Selangor tidak lagi mampu diberikan kepada kroninya Tan Sri Rozali Ismail. Tegasnya, Penswastaan Air oleh Tun Mahathir telah gagal dalam gelombang pertama. Dengan penstrukturan semula air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) dan pembelian aset2 air oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), maka perlu diberi amaran kepada Najib supaya jangan ulangi pengkhianatan kepada rakyat dan pengguna dalam gelombang kedua ini.

15.   Najib mesti memberi laluan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Syabas. Lebih baik lagi, Najib juga mesti bertindak rasional untuk merawat hati rakyat dengan memberikan pengurusan air kepada kerajaan negeri dan tidak kepada Tan Sri Rozali Ismail. Kalau tidak rakyat akan menghukumnya dengan lebih berat dan dahsyat lagi dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Ingat!

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif  PusatPenyelidikan PAS.

Tiada ulasan: