Ahad, 3 Februari 2013

Hadi bidas Dr M, dakwa Umno punca penganut agama keliru


Abdul Hadi (ketiga dari kiri) pada Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah di Ampang. — Gambar Choo Choy May
 
KUALA LUMPUR — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak tuduhan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan parti tersebut menggunakan agama dan kalimah “Allah” untuk memancing undi, sebaliknya mendakwa Umno yang bertanggungjawab mewujudkan kekeliruan dikalangan penganut agama di Malaysia.

Dalam laporan akhbar berbahasa Melayu Mingguan Malaysia hari ini, Dr Mahathir menekankan Malaysia berbeza dengan negara lain yang mempunyai dua kefahaman Islam kerana negara ini hanya mengamalkan mahzab Ahli Sunnah Wal Jamaah dikalangan penganut Muslim.

“Isu agama ini dipermainkan oleh Umno sejak dahulu lagi,” kata Abdul Hadi dalam ucapannya di Ampang pagi ini sempena Himpunan Perdana PAS Bersama Ummah.

“Malahan mereka juga sanggup mempermainkan kalimah Allah dan memutar-belitkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura bulan lalu.

“Kalimah Allah ini bukan hanya untuk penganut Muslim sahaja, malahan dinegara arab penganut agama selain Islam juga menggunakan kalimah suci tersebut.

“Cuma yang tidak boleh ialah menterjemahkan ia sebagai rujukan kepada tuhan lain dan disalahguna untuk tujuan tidak baik,” tambah beliau lagi.

Menurut pemimpin utama PAS itu lagi, sikap Umno yang mempolitikkan isu penggunaan kalimah “Allah” tersebut hanya bertujuan untuk memancing pengundi dan mereka telah melakukannya sejak dahulu lagi sehinggakan ia mengelirukan penganut agama Islam di Malaysia.

Dalam ucapannya lagi, Abdul Hadi juga menegaskan PAS tidak akan berkompromi dengan cadangan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan Umno memandangkan pernah ditipu pada suatu ketika dahulu dan ahli-ahli parti Islam tersebut diingatka untuk mengambil sejarah lalu sebagai iktibar.

Tiada ulasan: