Ahad, 3 Februari 2013

Dr Asri: 'Pelaksanaan hudud perlu ada roh'

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
 
KUALA LUMPUR - Bekas mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin mengulangi pendirian beliau yang bersetuju sekiranya hukum hudud mahu dilaksanakan di negara ini.

Meskipun begitu beliau menegaskan,  ia hanya boleh direalisasikan saat negara berada dalam keadaan kondusif yang bila mana penggubalan undang-undang itu dilakukan, ia menampakkan sisi indahnya Islam itu.

"Saya setuju (laksana hudud) tetapi kita kena ada kesedaran bahawa pelaksanaan hukum hudud itu perlu ada roh, ada keadaan di mana apabila hukum hudud itu dilaksanakan orang akan melihat kecantikan Islam," katanya dalam forum  Implimentasi Syariah Dalam Negara Bersifat Sekular: Adakah Malaysia Menepati Syariah Islam?" di ibu negara malam tadi.

Forum dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, 1MDB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Media Prima.

Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan, sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan hukum Islam itu di negara ini.

"Ini soal hukum sebab itu kita perlu mendidik. Saya OK, boleh buat (hudud), saya kata hudud bagaikan pintu yang indah bagi sebuah istana tetapi jika dipasang di sebuah rumah yang buruk, terhempas rumah itu.

"Kalau wanita yang baik dan solehah, tetapi jika dipasangkan dengan lekaki yang jahat, rosak kehidupannya," ujar beliau lagi.

Menurut Asri, sehingga kini masyarakat di negara ini masih terkongkong dengan tafsiran apabila mahu dilaksanakan sahaja corak pemerintahan berasaskan Islam, maka ia pasti membabitkan hudud.

"Mereka terbayang undang-undang Islam yang  membabitkan potong tangan, sebat orang yang berzina, orang yang minum arak, yang murtad dan seumpamanya," ujarnya.

Walhal jelas Asri, dalam Islam, bukan mudah untuk menjatuhkan sesuatu hukuman melainkan cukup syaratnya.

"Kita boleh letakkan target (untuk laksana hudud) tetapi ia bukan soal (itu semata). Saya setuju tetapi kita kena ada kesedaran bahawa pelaksaan hukum hudud itu perlu ada roh, ada keadaan di mana apabila hukum hudud itu dilaksanakan orang akan melihat kecantikan Islam," tambah Asri.

Asri sebelum itu menyatakan bantahannya terhadap gambaran keterlaluan yang diberikan kepada corak pemerintahan sekular di mana masyarakat Islam rata-ratanya mempunyai tafsiran tersendiri tentang istilah itu.

"Gabungan kepada sekular adalah demokrasi dan dia (Mustafa Kemal Ataturk) tidak meraikan demokrasi. Suara rakyat, kehendak hati nurani rakyat, maka orang Islam apabila sebut sekular, mereka terbayangkan Mustafa Kemal Ataturk dan menganggap segala-galanya tentang sekular itu negatif.

"Hakikatnya tidak begitu. Saya tidak menyokong sekular tetapi gambaran itu keterlaluan," ujar beliau lagi.

Mengupas tentang negara Islam, Asri berkata, negara Islam bukan hanya terletak pada istilah semata-mata, namun ia perlu dizahirkan dalam konteks yang menyeluruh.

"Kalau saudara tanya sekarang, adakah negara-negara sekarang negara Islam, ya, mereka wilayah Islam. Saya baru bercakap tentang istilah belum lagi nilai budi.

"Kita mengatakan negara-negara yang ada Malaysia, Indonesia, negara-negara Arab, wilayah Islam, dalam erti kata lain, kalau negara-negara ini diserang, wajib bagi umat Islam bangun mempertahankannya. Tetapi dengan istilah itu tidak bererti saya boleh mendiamkan diri kalau berlaku apa-apa kesalahan atau penyelewengan hanya atas dasar ia negara Islam.

"Sepertimana saya tak boleh untuk mendiamkan diri apabila orang Islam buat sesuatu, hanya kerana dia orang Islam, kalau dia merasuah, merompak dan sebagainya, 'eh tak apalah dia orang Islam'," tegas Asri.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menegaskan, bila bercakap tentang negara Islam, ia mestilah menyeluruh dan tidak ketinggalan dalam mana-mana aspek sepertimana di negara ini.

"Islam bukan hanya slogan, Islam itu melibatkan teks, konteks, bentuk, isu, mesti semuanya Islam.

"Negara ini Islam atau tidak. Sebab itu jika kita lihat balik, dari segi teks dan konteksnya, ia tidak ada kaitan dengan tulis atau tak tulis (Perlembagaan), soalnya pelaksanaan bagaimana?

"Dirikan solat, masjid kita macam mana? Apakah dirikan solat bermakna kita harus membina masjid besar-besar tetapi jemaah tidak ada. Ada orang hendak berceramah, kena tangkap. Tunaikan zakat, negara kita kutip berapa zakat? RM1 bilion. Apakah orang tidak bayar? Orang bayar, tetapi di mana duit itu pergi?" soal beliau.

Tiada ulasan: