Oleh Aisha Geoffrey
SHAH ALAM : Pengerusi Biro Pilihan Raya DAP, Tan Kok Wai
menjamin, KEADILAN dan PAS mendapat sokongan padu pengundi Cina di semua
kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
“Pengundi Cina adalah kekuatan kita (DAP). Justeru kita akan
memastikan dan membantu parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu KEADILAN dan
PAS untuk mendapat hak kepercayaan pengundi Cina, tidak kira di
mana-mana kawasan,” kata Ahli Parlimen Cheras itu.
Kok
Wai menyampaikan amanatnya dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4
yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, menjelang PRU 13, Pakatan Rakyat perlu bergerak dan
berkempen sebagai satu entiti dengan semangat kerjasama dan saling
membantu untuk menang.
“Untuk mencapai matlamat memulakan budaya politik baru selepas PRU
13, Pakatan Rakyat perlu mengalahkan BN dan mesti mendapat kemenangan
besar dan membanggakan,” katanya.
“Untuk itu, Pakatan mesti bersatu dalam berkempen meliputi aspek idea
dan mesej, dan memastikan jentera masing-masing berkempen sebagai satu
entiti,” katanya.
Kata Kok Wai, dengan cara itu, rakyat yakin Pakatan bersatu dan
berkhidmat untuk semua kaum seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita juga perlu yakinkan rakyat bahawa ‘peperangan’ kali ini bukan
saja perjuangan Pakatan melawan BN, tetapi untuk ke arah Malaysia yang
lebih baik.
“Beritahu pemimpin kerajaan sekarang bahawa undi kami tidak ternilai,
dan undi rakyat bukan untuk dihina,” tegasnya disambut tepukan
kira-kira 1,500 perwakilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan