Isnin, 11 Februari 2013

Buruh kena 50 jahitan akibat diserang harimau

SINAR HARIAN
GUA MUSANG - Seorang buruh ladang warga Indonesia terpaksa menerima 50 jahitan akibat dicakar ketika bergelut dengan seekor harimau bintang di Ladang Sawit Tanah Rancangan Felda Perasu di sini semalam.

Kejadian kira-kira 8.30 pagi itu berlaku ketika Alip Abil, 33, bersama enam rakannya sedang meracun rumput sebelum mereka terdengar bunyi harimau mengaum.

Beliau yang secara tiba-tiba diterkam haiwan itu terpaksa bergelut selama 15 minit sebelum mendapat bantuan rakan-rakannya.

"Harimau itu menyerang dan mencakar bahagian dada, punggung, lengan kanan dan kepala sebelum saya menjerit meminta tolong.

"Rakan saya yang lain terus mencari kayu tajam dan menjoloknya ke dalam mulut harimau itu sehingga ia melepaskan saya," katanya ketika ditemui di rumah kongsinya di tanah rancangan itu selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Alip berkata, dia bernasib baik kerana dilindungi tong racun di belakang badannya ketika harimau bintang itu menerkam dari arah belakang.

Dia menjelaskan bahagian lengan kanannya adalah yang paling teruk terkena cakaran harimau itu.

Rakannya, Nuradi, 27, berkata sebaik beliau menjolok kayu tajam ke dalam mulut harimau itu, ia bertindak agresif dan cuba menyerangnya pula tetapi sempat mempertahankan diri dengan batang kayu berkenaan.

"Pada mulanya saya fikir babi hutan menyerang Alip sebelum menyedari harimau bintang dengan ketinggian paras paha sedang menyerang Alip," tambahnya. - Bernama

Tiada ulasan: